Model ini merupakan versi prestasi tinggi kepada sedan elektrik Ioniq 6, dan kesinambungan kepada pendekatan agresif Hyundai dalam membangunkan barisan N performance EV, selepas kejayaan Ioniq 5 N sebelum ini.

Tiga tahun lalu, Hyundai memperkenalkan dua konsep menarik N Vision 74 dan RN22e. Walaupun N Vision 74 masih kekal sebagai eksperimen hidrogen yang tidak pasti masa depannya, RN22e pula memberi bayangan awal kepada Ioniq 6 N. Kini, dengan beberapa imej teaser rasmi yang telah didedahkan, Hyundai memperlihatkan rekaan akhir versi produksi yang lebih agresif dan berkarakter.

Sebagai produk divisyen N, Ioniq 6 N dijangka hadir dengan kuasa lebih tinggi, talaan suspensi khas, sistem brek prestasi tinggi dan kemungkinan besar turut dilengkapi teknologi bunyi tiruan N Active Sound+ serta fungsi N e-shift seperti yang ditawarkan pada Ioniq 5 N ciri yang meniru rasa penukaran gear untuk pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan walaupun sepenuhnya elektrik.

Goodwood Festival of Speed menjadi pilihan strategik Hyundai kerana acara itu sering menjadi medan pendedahan model-model istimewa kepada peminat automotif global. Ia juga merupakan lokasi debut beberapa model ikonik seperti Red Bull RB17 rekaan Adrian Newey tahun lalu.
Walaupun belum diumumkan bila Ioniq 6 N akan mula dijual secara rasmi, pelancarannya di Goodwood menandakan pelan pemasaran global sedang bermula dan tidak mustahil Malaysia bakal menerima model ini seawal tahun 2026, bergantung kepada strategi pasaran dan infrastruktur EV sedia ada.
Ioniq 6 N bukan sekadar sedan elektrik yang laju. Ia adalah lambang evolusi teknologi, gaya dan prestasi dalam satu pakej yang lahir daripada semangat N yang semakin menyerlah dalam dunia EV.