
Apa yang lebih menarik ialah, Hyundai menang dua kali berturut-turut selepas IONIQ 5 menjulang tiga trofi sama tahun lalu.
Untuk kategori World Car of the Year, IONIQ 6 dipilih dari senarai awal yang terdiri daripada 30 model dan kemudian disenarai pendek bersama BMW X1 / iX1 dan Kia Niro.
IONIQ 6 adalah model kedua dari siri khas model elektrik IONIQ dan digayakan dengan reka bentuk berbeza daripada IONIQ 5 sebagai crossover utility vehicle (CUV).
Satu ciri yang menonjol pada IONIQ 6 ialah reka bentuk yang aerodinamik dan digelar sebagai Electrified Streamliner oleh Hyundai.

Dengan pekali seretan (Cod) hanya 0.21, IONIQ 6 satu daripada EV paling aerodinamik dan cekap tenaga di pasaran.
Masakan tidak, IONIQ 6 Long-Range 77.4 kWj dengan cas penuh boleh dipandu sejauh 614 kilometer (WLTP)!
IONIQ 6 2WD dengan tayar 18 inci mempunyai kadar penggunaan tenaga 13.9 kWj/100 km (WLTP).
Dibangunkan dari Electric-Global Modular Platform (E-GMP), IONIQ 6 menawarkan sistem pengecasan 800V dan hanya perlu 18 minit untuk menambah 'jus' dari 10 hingga 80 peratus.

Sebagai sebuah EV baharu, IONIQ turut dilengkapi teknologi Vehicle-to-Load (V2L) untuk menguasakan peranti elektrik luar.
Lagi ciri pada IONIQ 6 seperti Dual Color Ambient Lighting dan Speed Sync Lighting.
Untuk memperkayakan pengalaman pemanduan EV, IONIQ 6 dilengkapi fungsi Performance Tune-up dan Electric Active Sound Design (e-ASD).

Selain kemenangan IONIQ 6, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pusat Reka Bentuk Global Hyundai, SangYup Lee dipilih sebagai World Car Person of the Year 2023.
Pemilihan itu hasil sumbangan beliau untuk model konsep dan kereta yang diperkenalkan pada 2022 seperti IONIQ 6, KONA dan N Vision 74.
Kepada yang berkenan, Hyundai Malaysia khabarnya akan membawa masuk IONIQ 6 pada tahun ini.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
