Di antara perkakasan pada Ioniq 5 N DK Edition seperti rim tempa 21 inci dengan lebar 10.0J daripada 9.5J dan pengurangan berat sebanyak 10.6 kilogram.
Di sebalik rim jelas boleh dilihat Sistem Brek Monoblock 6P (enam omboh) warna hijau dari duralumin dengan permukaan pad yang dibesarkan sebanyak 54 peratus.
Turut meningkat kadar pekali geseran maksimum 0.55 berbanding Ioniq 5 N standard. Pad brek berprestasi digunakan untuk tindak balas yang lebih baik.
Di sebalik rim pula dipasang pegas gegelung N Performance DK Edition dari H&R juga dalam warna hijau dan merendahkan kereta sebanyak 15 milimeter (mm).
Pegas gegelung itu dibangunkan khas untuk berfungsi bersama Suspensi Kawalan Elektronik Ioniq 5 N.
Dari segi penampilan, DK Edition nyata berbeza terutama sekali sayap tinggi di belakang.
Perkakasan aerodinamik yang dibuat dari gentian karbon terdiri daripada pemisah depan, skirt sisi, peresap dan sayap belakang dengan logo N yang terpampang besar.
Secara keseluruhan daya mendap ditingkatkan sebanyak 93 kilogram (kg) pada kelajuan 140 kilometer sejam (km/j).
Hyundai tidak memaklumkan jika rangkaian kuasa diusik atau terdapat penambahan tenaga.
Dalam keadaan asal, dua motor pacuan semua roda Ioniq 5 N memiliki 609 ps (448 kW) dan 740Nm.
Fungsi N Grin Boost membolehkan pemandu menikmati 650 ps (478 kW) dan 770Nm selama sepuluh saat dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j hanya perlu 3.4 saat.
Kelajuan tertinggi mencecah 260 km/j. Ioniq 5 N DK Edition akan dilancar pada enam bulan pertama 2025 di Korea dan Jepun.
Penulis: Muhammad Md Tajudin