Rupa sebenar Ioniq 5 N masih lagi berjaya disembunyikan disebalik pelekat samaran, namun Hyundai ada mendedahkan beberapa perincian unik yang wujud pada model tersebut.
Menerusi video teaser yang baharu sahaja dimuatnaik, Hyundai memperdengarkan kepada kita semua runut bunyi enjin palsu (artificial) yang unik.
Bunyi enjin tersebut telah ditala semula bagi menghasilkan satu alunan unik yang akan berinteraksi mengikut pemanduan semasa, serta mampu menghasilkan bunyi ‘letupan’ (pop & crackle) saat pemandu mengangkat kaki daripada pendikit.
Ia juga boleh meniru bunyi yang terhasil saat operasi penukaran gear rendah dilakukan pada kenderaan berenjin pembakaran dalaman.
Antara ciri pemanduan lain termasuklah sistem N Drift Optimizer yang dibantu dengan komponen pembeza gelincir terhad elektronik (e-LSD) dan sistem N Torque Distribution.
Berdasarkan petunjuk yang diberikan oleh bos besar Hyundai N Albert Biermann, Hyundai Ioniq 5 N akan menampilkan tetapan motor elektrik berkembar dengan janaan kuasa menghampiri angka 600 hp, diikuti dengan tetapan suspensi dan brek yang mampu mengubah EV tersebut menjadi jentera yang sangat ampuh di dalam litar.
Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Hyundai Ioniq 5 N dalam masa terdekat.