Medan ujian itu terletak berhampiran Garisan Artik dan menawarkan pelbagai keadaan seperti permukaan berais untuk menguji cengkaman dan suhu di bawah 30 darjah selsius.
Untuk IONIQ 5 layak memegang nama N, para jurutera N telah mengoptimumkan seni bina E-GMP dua motor supaya berprestasi tinggi pada semua keadaan pemanduan.
Semua keadaan termasuk di atas tasik beku di Arjeplog dan jurutera N memanfaatkan pengetahuan pacuan semua roda (AWD) kereta lumba Hyundai i20 N WRC Rally 1.
IONIQ 5 bakal menjadi model produksi N pertama yang menggunakan AWD.
Satu ciri menarik pada IONIQ 5 N ialah fungsi N Drift Optimizer.
Sistem itu menyepadukan pembahagian daya kilas depan dan belakang, kadar daya kilas, ketegaran suspensi, daya putaran stereng dan electronic-Limited Slip Differential (e-LSD).
Tujuannya? Mod khas untuk drift! Mod itu membantu pemandu menikmati aksi drift termasuk individu yang baru pertama kali mencuba.
Jurutera N banyak memberi penekanan pada pengendalian dan cengkaman IONIQ 5 N.
Melalui e-LSD yang ditala khas, unit kawalan elektronik mengawasi input dari sensor roda.
Sistem akan mengenalpasti sesebuah roda yang memerlukan tambahan daya kilas bagi meningkatkan cengkaman keseluruhan kenderaan.
Ringkasnya, e-LSD menambah baik pengendalian di selekoh dan pemanduan kelajuan tinggi di litar serta dalam cuaca buruk seperti ais yang licin dan salji tebal.
e-LSD yang dibangunkan untuk IONIQ 5 N memberikan respon lebih cepat dan tepat memandangkan daya kilas EV lebih pantas berbanding kereta dengan enjin biasa.
Turut dilengkapi N Torque Distribution yang dioptimumkan untuk pelbagai mod pemanduan.
Sistem itu membolehkan pemandu memilih tahap daya kilas untuk kedua-dua roda depan dan belakang.
N Torque Distribution dan e-LSD berfungsi secara bersama bagi membahagikan kuasa kepada keempat-empat roda mengikut nisbah yang berbeza.
Ianya juga direka bagi memberi respon pantas kepada kuasa mengejut dan berterusan sebuah EV walaupun di atas permukaan yang mempunyai cengkaman rendah.
Satu lagi perkara menarik tentang IONIQ 5 N ialah penglibatan Albert Biermann, Penasihat Eksekutif Teknikal, Hyundai Motor Group.
Beliau banyak membentuk karakter pemanduan Hyundai beberapa tahun kebelakangan ini dan bekas orang besar di BMW M.
Penulis: Muhammad Md Tajudin