Hyundai Ioniq 5 2022 - RWD atau AWD, kuasa setinggi 302 hp/605 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak salah untuk kami katakan, Hyundai Ioniq 5 merupakan jelmaan semula bagi model pertama yang dihasilkan oleh Hyundai - Hyundai Pony 1975 - namun ia kini didatangkan dengan trenkuasa elektrik sepenuh masa dengan rekaan crossover yang retro moden.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Dari segi penampilan, Hyundai Ioniq tidak membawakan perubahan besar berbanding model konsep asal 45 Concept yang diperlihatkan sebelum ini, menampilkan garis badan yang tajam, rekaan sisi  yang lebih kemas dengan pemegang pintu yang tertanam, serta penggunaan lampu LED berpetak di bahagian depan dan belakang.

Penggunaan kamera sisi pada model konsep asal juga telah diubah kepada penggunaan cermin sisi biasa.

Sementara set rim pula adalah bersaiz 20 inci yang dioptimasikan aliran udara untuk disesuaikan dengan sifat sebuah kereta elektrik.

 


Hyundai Ioniq 5 menggunakan rekaan hud jenis clamshell - pertama seumpanya untuk sebuah Hyundai - bertujuan untuk mengurangkan kesan 'panel gap'.

Dari segi dimensi, Ioniq 5 berukuran 4,635 mm panjang, lebar 1,890 mm dan tinggi 1,605 mm dengan jarak antara roda yang cukup panjang - 3,000 mm!

Dengan jarak antara roda sepanjang tiga meter itu, Hyundai mendakwa Ioniq 5 menawarkan ruang kabin yang lebih luas berbanding kenderaan di dalam segmennya.

 


Antara kelebihan sebuah EV adalah rekaan lantai yang rata sepenuhnya tanpa kehadiran komponen yang bergerak (gandar), dan kelebihan itu membolehkan Ioniq 5 menawarkan ruang kaki yang lebih luas, serta kehadiran konsol tengah hadapan yang boleh diluncurkan sejauh 140 mm.

Ciri ini membolehkan pemandu untuk bergerak ke baris kedua atau pintu sebelah penumpang untuk keluar, terutama ketika di kawasan parkir yang agak sempit.

Ruang kargo pula adalah sebesar 531 liter di belakang tempat duduk baris kedua, dan ia boleh diperbesarkan sehingga hampir 1,600 liter apabila ia dilipat ke bawah.

Tidak cukup?

 


Hyundai Ioniq 5 turut menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) di mana kapasitinya bergantung kepada konfigurasi pemanduan yang dipilih.

Untuk versi pacuan roda belakang, kapasiti frunk adalah sebesar 57 liter manakala versi AWD pula hanya mendapat ruang sebesar 24 liter sahaja.

Di hadapan pemandu terdapat sepasang skrin bersaiz 12.0 inci yang nampak gayannya diinspirasikan daripada sistem infotainmen Mercedes-Benz, dan pengaruh itu diteruskan dengan kehadiran tuil penukaran gear di belakang stereng, dan sistem paparan head-up dengan sokongan realiti terimbuh.

Dari segi pemilihan bahan, Hyundai Ioniq banyak menggunakan bahan kitar semula termasuklah botol PET.

 


Masuk kepada aspek trenkuasa, pembeli boleh mendapatkan Hyundai Ioniq dengan kapasiti pek bateri 58 kWh atau 72.6 kWh, serta konfigurasi pacuan roda belakang atau semua roda.

Versi paling asas 58 kWh boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal (168 hp/350 Nm) yang mampu memecut 0-100 km/j dalam 8.5 saat, atau versi AWD (232 hp/605 Nm) dengan motor elektrik berkembar (depan 71 hp/255 Nm, belakang 161 hp/350 Nm) dan pecutan 0-100 km/j sepantas 6.1 saat.

Versi pek bateri yang lebih besar 72.6 kWh dengan sistem motor elektrik tunggal menghasilkan kuasa setinggi 215 hp dan 350 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 7.4 saat, manakala versi paling berkuasa AWD menawarkan 302 hp/605 Nm dengan gandingan motor elektrik berkembar (depan 94 hp/255 Nm, belakang 208 hp/350 Nm) serta pecutan sepantas 5.2 saat.

 


Sistem pengecasan pantas 350 kW pula membolehkan anda mengecas pek bateri dari kapasiti 10 peratus sehingga 80 peratus dalam masa 18 minit sahaja, terima kasih kepada senibina 800 voltan yang digunakan.

Hyundai Ioniq 5 pacuan roda belakang dengan pek bateri 72.6 kWh mampu mencapai jarak operasi sejauh 480 km mengikut data WLTP.

Hyundai Ioniq 5 juga turut dibantu dengan kehadiran panel solar di bahagian bumbung yang mampu menukarkan tenaga matahari kepada tenaga elektrik untuk menambahkan jarak operasi sedia ada.

Satu ciri menarik yang didatangkan pada Ioniq 5 adalah keupayaan Vehicle-to-Load (V2L) terbina yang mampu menyalurkan kuasa setinggi 3.6 kW, di mana anda boleh menggunakan slot kuasa yang terdapat di bawah tempat duduk belakang, atau slot yang terdapat di bahagian luar.

 


Hyundai Ioniq 5 merupakan model pertama EV yang duduk di bawah sub-jenama Ioniq dan ia bakal disusuli dengan Ioniq 6 yang menggunakan konsep Prophecy (2022), serta crossover Ioniq 7 yang lebih besar seawal tahun 2024.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Hyundai membangunkan kereta lumba ini untuk bersaing di dalam kelas eN1 yang baru diwujudkan di…
Berita Global
Antara yang terlibat termasuklah wakil daripada Hyundai Motor Company itu sendiri, diikuti wakil…
Pelancaran
Sistem e-Corner merupakan modul pakej semua-dalam-satu merangkumi brake by wire, steer by wire,…