Hyundai Inster, jarak pandu sehingga 355 km, bakal masuk Asia Pasifik

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai Inster
Hyundai Inster
Menerima kenderaan elektrik (EV) tidak semestinya meletakkan jangkaan yang tinggi. Sebagai contoh risaukan lokasi pengecasan, jarak pemanduan dan sebagainya.

Bagi sesetengah pengguna, EV boleh dijadikan kereta kedua seperti amalan sekarang ini di mana kereta kecil diguna untuk urusan harian.

Satu kelebihan EV ialah anda boleh mengecasnya di rumah pada harga lebih rendah berbanding di pusat pengecasan luar.

Berbeza dengan harga petrol dan diesel yang tetap sama dan anda tidak boleh menggerudi permukaan bumi atau memiliki loji penapisan untuk menghasilkan bahan api.
Hyundai Inster 2025

 

Menggunakan tenaga elektrik bermakna anda boleh menjana sendiri melalui panel solar.

Selain sedan atau kenderaan utiliti sukan (SUV) yang boleh dipandu beratus kilometer (km), terdapat sejumlah EV kecil di China dan Jepun.

EV segmen A atau B boleh dijadikan kereta kedua, jarak pemanduan sederhana sudah cukup untuk kegunaan harian biasa.

Terbaru Hyundai memperkenalkan Inster, EV segmen A dengan model Jarak Jauh (Long Range) boleh dipandu sehingga 355 km (WLTP).

 

Hyundai Inster 2025

 

Inster diasaskan dari Casper dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan diperkenal di Korea pada 2021.

Bezanya, Inster mempunyai badan dan jarak roda lebih panjang untuk ruang dalaman lebih besar dan terampil di jalanan.

Menurut Hyundai, Inster diletakkan di antara kereta bandar kompak segmen A dan kereta kompak segmen B. 

Rekaan Inster dibuat dalam gaya SUV kecil, tinggi dan tampil rugged. Lampu bulat menjadi tarikan dan rekaan bampar dibuat seperti papan litar.

 

Hyundai Inster 2025

 

Bahagian belakang juga menarik dengan gugusan lampu berpetak dan bulat di bawah.

Pada bahagian dalam, tema piksel diteruskan dan papan pemuka dipasang skrin 10.25 inci untuk pemandu dan skrin sentuh saiz sama pada bahagian tengah.

Semua kerusi termasuk pemandu boleh direbah termasuk pemandu dan pelanggan ditawarkan kerusi depan jenis bench (bersambung).

Ruang tanpa konsol gear yang bersambung dengan papan pemuka membolehkan kaki pemandu atau penumpang bebas bergerak.

 

Hyundai Inster 2025

 

Kerusi baris kedua boleh dilaras ke depan dan belakang dan dilipat secara 50/50. Pilihan warna dalaman seperti Hitam, Khaki Brown dan Newtro Beige dua tona.

Warna badan pula meriah dengan sejumlah pilihan seperti Atlas White, Bijarim Khaki Matte, Unbleached Ivory dan beberapa lagi termasuk bumbung hitam.

Hyundai turut menggunakan bahan mampan seperti botol kitar semula dan cat yang dihasilkan dari tayar buangan.

Selepas Korea, Inster menyusul ke Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik. Ada harapan untuk pasaran sini? Hyundai juga memaklumkan sebuah lagi model iaitu Inster Cross bakal ditawarkan.

 

Hyundai Inster 2025

 

Ciri-ciri Hyundai Inster (Eropah):

Ukuran

  • Panjang, lebar, tinggi: 3,825 x 1,610 x 1,575 mm 
  • Jarak roda: 2,580 mm
  • Ruang kepala: 1,028 mm (bumbung suria) (depan), 982 mm (belakang)
  • Ruang kaki: 1,050 mm (depan), 885 mm (belakang)
  • Ruang simpanan but: 280 liter/351 liter (kerusi dilaras ke depan)

Bateri, pengecasan dan jarak pemanduan:

  • Bateri: 42 kWj (model Standard), 49 kWj (model Jarak Jauh)
  • Voltan: 266 V (model Standard), 310 V (model Jarak Jauh)
  • Pengecasan AC: 11 kW
  • Tempoh pengecasan: 4 jam (model Standard), 4 jam 35 minit (model Jarak Jauh) (16A) 
  • Tempoh pengecasan pantas 10 - 80%: 30 minit (120 kW)
  • Kuasa: 71.1 kW/91 ps (model Standard), 84.5 kW/115 ps (model Jarak Jauh)
  • Jarak pemanduan: Lebih 300 km (model Standard), 355 km (sasaran, model Jarak Jauh, rim 15 inci) (WLTP)​​​​​​​
  • Sistem pemanasan bateri (pilihan)
  • Pam haba (pilihan)
  • Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk perkakasan elektrik 110V/220V

Penulis: Muhammmad Md Tajudin

 

Hyundai Inster 2025