Hyundai i30 N Performance, gaya mengancam, dari RM191k!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai i30 Fastback N
Hyundai i30 Fastback N
Pencapaian Hyundai sekarang ini memang hebat. Model-model baharu yang dikeluarkan mempunyai keistimewaan tersendiri baik dari segi reka bentuk dan teknologi.

Di sebalik dua perkara tersebut, Hyundai juga hebat dalam sukan permotoran terutama sekali Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Tidak mustahil jika satu hari nanti Hyundai akan merangkul kedua-dua kejuaraan kategori pengeluar dan pemandu.

Manifestasi sukan permotoran itu dipersembahkan Hyundai kepada orang ramai melalui siri model N. 

Hyundai i30 N diperkenalkan pada tahun 2018 dan ia dibangunkan khusus oleh Bahagian Kenderaan Prestasi Tinggi yang diterajui Albert Biermann dari BMW M.

i30 N dibangunkan di bahagian penyelidikan dan pembangunan di Namyang dan diperhalusi di litar Nürburgring dan jalan raya terkenal di Eropah.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Hyundai i30 Fastback N

 

Jauh dibangunkan di Korea dan Eropah, Hyundai i30 N kemudiannya turut dipasarkan di negara kita.

Beberapa tahun di pasaran, Hyundai memperkenalkan i30 N 2021 pada September 2020 dan kini model itu mula dijual di United Kingdom.

Di antara perbaharuan yang dibuat ialah bampar dengan gril lebih lebar untuk penyejukan enjin lebih cekap dan menambahbaik aliran udara selain mengurangkan rintangan angin pada perumah roda.

i30 N 2021 mempunyai lampu LED baharu dengan nyalaan DRL berbentuk V manakala lampu belakang turut dikemaskini.

i30 N sebenarnya mempunyai dua versi iaitu hatchback dan fastback. Bahagian belakang i30 N Hatchback datang dengan rekaan baharu manakala i30 N Fastback kekal seperti versi sebelum.

 

Hyundai i30 N

 

Turut diperbaharui ialah roda aloi forged 19 inci yang direka bagi mengurangkan berat tak terpegas (unsprang mass) dan 14.4 kg lebih ringan berbanding roda inci cast pada i30 N sebelum ini.

Roda lima rongga itu berwarna dark satin grey matte yang kontra dengan angkup brek N berwarna merah.

Roda tersebut dipadan bersama tayar Pirelli P-Zero dengan mempunyai binaan (kompaun) khas HN yang dibangunkan terutama sekali untuk i30 N.

Bahagian dalam turut diberi perhatian dengan sistem navigasi saiz 10.25 inci dengan pelbagai maklumat termasuk Performance Driving Data System.

 

Hyundai i30 N

 

Sistem itu berfungsi dengan mengawasi dan membantu pemandu bagi menambah baik skil di litar dan memaparkan pelbagai maklumat seperti kuasa, daya kilas, galak (boost) turbo, pemasa pusingan (lap) dan pecutan.

Selain itu, Hyundai menawarkan kepada pembeli pilihan kerusi sport N Light Sport Seats yang mempunyai berat 2.2 kg lebih ringan berbanding kerusi standard.

Kerusi jenis tunggal (monoform) itu dibalut dengan kulit premium dan Alcantara dan mempunyai logo N bercahaya pada penyandar kepala.

Pada bahagian mekanikal, kuasa enjin 2.0 liter turbo ditingkatkan kepada 280PS dan tork 392 Nm iaitu tambahan sebanyak 5PS dan 39Nm.

Tork maksimum boleh didapati dari 1,950 rpm hingga 4,600 rpm.

 

Hyundai i30 N

 

Peningkatan kuasa turut diterjemahkan kepada daya pecutan 0 hingga 100 km/j yang berkurangan 0.2 saat kepada 5.9 saat. Kelajuan maksimum pula ialah 249 km/j.

Transmisi enam kelajuan manual dari model sebelum dikekalkan termasuk e-LSD. Apa yang baharu ialah transmisi dua klac lapan kelajuan atau dikenali sebagai N DCT.

Transmisi DCT itu dari jenis basah yang menggunakan minyak untuk menyejukkan komponen klac dan mengurangkan geseran dan membolehkan daya tork lebih tinggi dipindahkan ke kotak gear.

Transmisi N DCT membolehkan i30 N dipandu dalam pelbagai mod berprestasi seperti N Grin Shift, N Power Shift dan N Track Sense Shift

Buat pengguna yang mahukan varian lebih istimewa, Hyundai menawarkan spesifikasi Performance untuk kedua-dua i30 N. 

 

Hyundai i30 N

 

Di antara kelengkapannya ialah roda forged 19 inci, cermin sisi hitam kilat, spoiler belakang dan cermin privasi, siling bumbung hitam, stereng dengan pemanas dan balutan kulit.

Turut dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kerusi pemandu dan penumpang sisi dengan pemanas dan sebagainya.

Harga untuk Hyundai i30 N Performance 2.0 Manual adalah £33,745.00 (RM191,626) dan N Performance DCT pada £35,695.00 (RM202,700).

Hyundai i30 N Fastback N Performance Manual pula berharga £34,495.00 (RM195,885) manakala Fastback N Performance DCT berharga £36,445.00 (RM206,959).

Penulis: Muhammad Md Tajudin