Hyundai i30 N masuk pasaran Malaysia - 20 unit sahaja, hanya di 12.12 Lazada!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah kira-kira dua tahun diperkenalkan kepada global, akhirnya pihak Hyundai-Sime Darby bersedia membawa masuk model hot hatch i30 N untuk pasaran Malaysia setelah memperlihatkannya buat kali pertama di acara KLIMS tahun lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pesaing rapat kepada VW Golf GTi, Honda Civic Type R dan Renault Megane 280 RS ini hadir dalam satu varian sahaja, dan ia terhad kepada transmisi manual enam nisbah kelajuan sahaja. 

Nadi kuasa versi asal menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo Theta T-GDI yang menghasilkan 246 kuasa kuda dan 353 Nm daya kilas. 
 


Namun, versi yang dibawakan oleh Hyundai-Sime Darby ini pula merupakan versi yang lebih berkuasa dengan angka yang mampu mencecah 271 kuasa kuda dan daya kilas 353 Nm yang memacu roda hadapan sahaja. 

Dari segi pecutan, Hyundai i30 N mampu mencecah kepantasan 6.1 saat dari pegun ke 100 km/j dan kelajuan tertinggi 250 km/j, selain menampilkan ciri overboost yang mampu meningkatkan daya kilas dan juga pecutan sekiranya diperlukan.

 


Casis hot hatch ini telah dinaiktaraf berbanding versi marhaen, di mana ia menerima sistem suspensi adaptif dengan lima mod pemanduan yang berbeza: Eco, Normal, Sport, N dan juga N Custom. 

Lima mod pemanduan di atas juga turut mempengaruhi beberapa faktor seperti parameter enjin, kawalan kestabilan kenderaan, bunyi enjin, respon stereng dan juga ciri rev-match.

 


Untuk memastikan i30 N ini sentiasa melekat di atas jalan raya, Hyundai telah mendatangkan tayar Pirelli P-Zero bersaiz 235/35 yang membaluti set rim 19 inci yang serba garang itu. 

Bagi menjadikan ia sebuah hot hatch yang digeruni, bahagian luaran Hyundai i30 N ini telah dipasang dengan kit badan yang agresif, termasuklah bumper dan spoiler belakang yang didakwa mampu meningkatkan daya turun serta kadar aerodinamik ketika kelajuan tinggi. 

 


Sementara itu di ruang kabin, pemandu dan penumpang hadapan diberikan kerusi sports balutan kulit, kluster instrumen elektronik dengan indikasi penukaran gear, roda stereng dan tombol gear khas untuk model i30 N, dan kemasan logo N. 

Untuk pasaran Malaysia, Hyundai menawarkan satu warna sahaja, iaitu Performance Blue dengan harga RM298,888 dan hanya 20 unit sahaja yang ditawarkan oleh Hyundai-Sime Darby Motors. 


Untuk memiliki hot hatch yang seksi ini, 20 pelanggan terawal perlu 'chup dulu' Hyundai i30 N ini menerusi aplikasi Lazada dengan bayaran 50 peratus daripada yuran tempahan RM2,000 (RM1,000), bersempena dengan festival membeli-belah Lazada 12.12.

Kemudian, pembeli perlu melengkapkan pembayaran tempahan penuh bermula 12-14 Disember ini. 

 


Untuk melengkapkan proses pembelian, wakil penjual Hyundai akan menghubungi 20 pelanggan terawal dan proses tersebut boleh dilakukan di mana-mana pusat jualan Hyundai yang berhampiran. 

Sebagai ganjaran, 20 pelanggan terawal yang berjaya melengkapkan transaksi akan diberikan peluang untuk bercuti ke Korea dan menikmati pengalaman memandu di dalam litar ujian Hyundai. 
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kedua-dua model tersebut bakal dipamerkan buat kali pertama di acara paultan.org Premium Auto Car…
Model Terbaharu
Varian baharu yang dimaksudkan itu ialah IONIQ 6 Lite dan IONIQ 6 Plus, di mana kedua-dua merupakan…
Pelancaran
Sama seperti IONIQ 5, IONIQ 6 dibangun berdasarkan platform E-GMP, dengan senibina elektrik 800…