Hyundai Elantra generasi ketujuh dilancarkan - bermula dari RM158,888

oleh Mohamad Hanif|
Model sedan terbaharu yang dibawa masuk oleh Hyundai-Sime Darby Motor, Elantra generasi ketujuh akhirnya dilancarkan secara rasmi dan bakal memberikan saingan kepada sedan segmen C di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia membawakan bahasa rekaan Sensuous Sportiness yang digandingkan dengan elemen garis-garis tajam seakan potongan kristal Parametric Dynamics sekaligus menjadikan penampilan Elantra lebih berani dan lebih agresif di atas jalan raya.

Dibangunkan atas platform K3 generasi ketiga, Elantra mempunyai ukuran sepanjang 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar dan tinggi 1,430 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm, lebih panjang namun lebih rendah untuk penampilan sedan yang lebih sporti.

 


Hyundai Elantra dijana dengan enjin Smartstream G1.6 MPi aspirasi natural yang mampu menghasilkan 123 PS @ 6,300 rpm dan daya kilas maksimum 154 Nm @ 4,500 rpm.

Elantra merupakan model Hyundai pertama yang dilengkapi transmisi pintar IVT yang menjanjikan penjimatan bahan api sebanyak 4.2 peratus di samping mengurangkan kadar kehilangan kuasa enjin sekitar 5-8 peratus.

Sedan dengan rekaan fastback ini membawakan ciri-ciri moden di bahagian luaran, seperti lampu utama LED dengan gandingan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED dengan rekaan grafik berbentuk H, sebelum diakhiri dengan pemasangan rim aloi bersaiz 17 inci yang sporti.

 


Sementara ruang dalaman pula menampilkan rekaan papan pemuka yang memuatkan skrin kluster digital bersaiz 10.25 inci, dibantu dengan skrin infotainmen bersaiz 8 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Hyundai turut menawarkan dua warna berbeza bagi upholsteri dalaman, iaitu warna hitam standard dan warna Light Grey, di mana warna kelabu itu tadi didatangkan pada tempat duduk serta 'ruang khusus' yang mengasingkan pemandu daripada penumpang hadapan.

Tempat duduk hadapan didatangkan dengan larasan lapan cara dengan dua sokongan tulang belakang, serta ciri ventilasi dan pemanasan yang turut didatangkan pada roda stereng dan juga cermin sisi.

 


Antara ciri kemudahan lain yang dimuatkan termasuklah slot pengecasan peranti pintar nirwayar, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem pendingin hawa dua zon dengan tiga tetapan automatik, kawalan keselesaan suhu pintar bagi ruang pemandu, slot pengecasan USB, serta brek parkir elektronik dengan ciri auto hold.

Secara standard, Hyundai Elantra membawakan ruang kargo sebesar 470 liter di mana ia boleh diperbesarkan dengan melipat tempat duduk baris kedua dengan nisbah 60:40.

Hyundai Elantra turut dipertingkatkan dengan ciri keselamatan Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri seperti Bantuan Kekal Laluan, Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Penumpang Belakang, serta Amaran Tumpuan Pemandu.

 


Harga jualan untuk Elantra bermula dari RM158,888 atas jalan tanpa insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau 300,000 yang mana terdahulu.

Alternatifnya, pembeli Elantra generasi baharu boleh mendapatkan pakej jaminan selama tiga tahun atau 50,000 km (yang mana terdahulu), dimana ia turut merangkumi pakej servis percuma.