Hyundai Alcazar - SUV tiga baris tempat duduk untuk pasaran India

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada melancarkan barisan kenderaan yang futuristik seperti Ioniq 5 dan Staria, Hyundai tidak pernah melupakan pasaran yang pesat membangun dan untuk itu mereka hadir dengan 'sebuah' lagi model crossover, dinamakan sebagai Alcazar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hyundai Alcazar merupakan sebuah crossover yang dibangunkan berdasarkan model lima tempat duduk Creta (Hyundai ix25) dihasilkan untuk pasaran India, dengan jarak antara roda yang dipanjangkan 150 mm untuk memuatkan tempat duduk baris ketiga.

Selain daripada itu, Hyundai turut menambah jarak overhang di bahagian belakang untuk keselesaan para penumpang di bahagian belakang.

 


Beberapa komponen seperti pintu, hud dan fender hadapan dipinjamkan daripada model asal, namun Hyundai telah membuat beberapa perubahan seperti penampilan gril, rekaan kaca suku belakang serba baharu dan unit lampu belakang yang lebih besar.

Sementara pemasangan skid plate dengan kemasan brushed aluminium pada depan dan belakang menampilkan identiti sebenar SUV Alcazar ini.

Bergantung kepada varian, Hyundai Alcazar boleh didapati dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, di mana tempat duduk baris kedua boleh dimuatkan dengan kerusi biasa atau tempat duduk jenis kapten.

 


Selain daripada itu, kelengkapan moden yang dimuatkan termasuklah skrin infotainmen 10.25 inci, bumbung panorama, pengecasan nirwayar, kawalan iklim automatik, skrin paparan kluster instrumen digital, dan ciri kamera keliling 360 darjah.

Dari segi kuasa, Hyundai Alcazar didatangkan dengan enjin 2.0 liter yang menghasilkan 157 hp dan 192 Nm, atau enjin diesel 1.5 liter turbo yang mampu menjana 113 hp dan 250 Nm, di mana kedua-duanya dipadankan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

Hyundai Alcazar hanya akan dijual di India bermula bulan hadapan bagi memberikan cabaran kepada model-model seperti Tata Safari, MG Hector Plus dan Mahindra XUV500.