Namun baru-baru ini, Huawei telah mengejutkan dunia dengan memperlihatkan secara rasmi kenderaan pertama mereka, iaitu crossover SF5 yang bakal dijual di bawah jenama Seres.
Seres SF5 memiliki ukuran panjang 4,700 mm, lebar 1,930 mm, ketinggian 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,875 mm.
Rupa luaran Seres SF5 dimulakan dengan unit lampu yang tirus, dipadankan pula dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang memanjang ke bahagian bampar.
Dari sudut pandang sisi, garis bumbung Seres SF5 ini direka seperti sebuah SUV Coupe dengan rekaan tingkap yang agak mengecil ke bahagian belakang, dan disudahi dengan rekaan pemegang pintu yang tertanam kemas pada bahagian badan.
Sementara bahagian belakang crossover ini menempatkan lampu LED yang dihubungkan dengan jalur LED melintangi bahagian tersebut.
Ruang kabin Seres SF5 menampilkan skrin paparan kluster instrumen yang terletak di belakang roda stereng dua jejari, sistem pencahayaan ambien, tempat duduk dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urut, serta dikemaskan pula dengan trim kayu, aksen metalik dan penampilan penukar posisi gear berbentuk rotari.
Skrin paparan besar yang diposisikan menegak di bahagian tengah itu menempatkan sistem infotainmen berteknologi tinggi yang mampu disambungkan kepada peranti pintar, serta memuatkan kandungan muzik dan informasi navigasi antara kedua-dua peranti.
Selain daripada sistem bunyi yang terdiri daripada 11 pembesar suara dan dua subwoofer, para jurutera turut memberikan tumpuan kepada aspek pengurangan kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH), seperti penggunaan kaca hadapan dwi-lapisan dan bahan penyerap bunyi.
Ini membolehkan ruang kabin mencapai kadar kebisingan serendah 38 dB sahaja ketika crossover ini sedang beroperasi.
Mengikuti trend semasa, Seres SF5 sebenarnya merupakan sebuah EV yang dilengkapi dengan unit penambah jarak (range extender) yang merupakan enjin 1.5 liter, dan dua motor elektrik yang berupaya menghasilkan 543 hp dan 820 Nm.
Pecutan 0-100 km/j mampu diselesaikan dalam tempoh 4.7 saat sahaja.
Terima kasih kepada trenkuasa range-extender itu tadi, Seres SF5 boleh bergerak sejauh 180 km sahaja menggunakan tenaga elektrik, dan mampu mencapai jarak sehingga 1,000 km secara keseluruhan.
Melengkapi crossover ini adalah teknologi terkini yang merangkumi radar bergelombang milimeter, penderia ultrabunyi, dan gugusan kamera yang membolehkan SF5 menggunakan ciri bantuan seperti kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan jalan raya, brek kecemasan automatik, pengekalan laluan pusat dan amaran pra-pelanggaran.
Harga jualan untuk Huawei Seres SF5 ini bermula dari ¥216,800 (RM137,376).