HR-V yang tak perlukan petrol, Honda e:NS1 elektrik ditawarkan di China!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda e:NS 1
Honda e:NS 1
Honda Motor (China) Investment Co., Ltd. (HMCI) yang merupakan subsidiari penuh Honda di China mengumumkan Dongfeng Honda Automobile Co., Ltd. mula menawarkan model elektrik e:NS1 pada 26 April 2022.

Dongfeng Honda adalah syarikat usahasama di antara Honda dan rakan tempatan yang mengeluarkan dan menjual kenderaan di China.

Selain itu, HMCI turut mengumumkan GAC Honda Automobile Co., Ltd., yang juga satu lagi syarikat usahasama pengeluaran dan penjualan kenderaan Honda di China akan menawarkan e:NP1 bermula Mei 2022.
Honda e:NP 1

 

Honda mempunyai dua syarikat kerjasama di China iaitu Dongfeng Honda dan GAC Honda dan masing-masing mempunyai model elektrik yang sama tetapi dengan nama berbeza.

e:NS1 dan e:NP1 pula adalah HR-V yang menggunakan rangkaian kuasa elektrik.

Nampak mudah seperti pasang dan ketatkan skru namun ianya tidak sesenang itu tanpa perancangan rapi.

Sebagai contoh rangkaian kuasa elektrik menggunakan motor untuk menggerakkan roda berbanding enjin pembakaran dalaman yang menggunakan gandar atau aci pacu.

Bahagian atas atau luar mungkin sama namun lantai model elektrik perlu menampung kelengkapan seperti bateri dan motor. 

 

Honda e:NS 1

 

Secara spesifik, e:NS1 dan e:NP1 menggunakan platform e:N Architecture F dengan motor elektrik di depan berkuasa 150 kW dan tork 310 Nm.

Bateri yang dibekalkan mampu membawa EV itu sehingga 510 kilometer (CLTC China).

e:NS1 dan e:NP1 masih mengekalkan bentuk HR-V tetapi dibezakan dengan gril depan tertutup dan menggunakan logo H yang mempunyai nyalaan.

Disebalik logo tersebut ialah slot untuk mengecas. Pada bahagian belakang tiada logo H seperti HR-V dan diganti dengan tulisan penuh Honda.

Teknologi aerodinamik pada e:NS1 dan e:NP1 dihasilkan melalui pengalaman Honda dalam pembangunan model sport.

 

Honda e:NP 1

 

Jika luar nampak tidak jauh beza, bahagian dalaman e:NS1 dan e:NP1 pula mempunyai identiti tersendiri yang selari dengan EV lain.

Skrin besar saiz 15.1 inci berada di tengah papan pemuka dan dari segi teknologi dilengkapi sistem berhubung Honda CONNECT 3.0 yang dibangunkan khusus untuk EV.

Turut dilengkapi ialah Driver Monitoring Camera (DMC) yang membantu pemanduan selamat dengan mengesan potensi kelakuan berbahaya seperti tidak fokus pada pemanduan dan tanda-tanda mengantuk.

Bermula dengan e:NS1 and e:NP1, Honda akan memperkenalkan sepuluh siri e:N menjelang tahun 2027.

 

Honda e:NP 1

 

Dari segi jualan dan serentak dengan penawaran e:NS1 and e:NP1, Honda akan memulakan proses pembelian dalam talian yang merangkumi pilihan peribadi sehingga kepada pesanan.

GAC Honda akan memperkenalkan bilik pameran khusus untuk kenderaan elektrifikasi termasuk outlet baharu di pusat membeli belah.

Dongfeng Honda pula akan mewujudkan bahagian khas untuk e:N di bilik pameran sedia ada.

Lebih komited apabila GAC Honda dan Dongfeng Honda akan membina kilang pengeluaran EV dengan sasaran operasi pada tahun 2024.

Bukan berkongsi tetapi setiap syarikat akan mempunyai kilang EV sendiri!

Penulis: Muhammad Md Tajudin