Horse mula keluarkan enjin HR12 1.2 liter 3 silinder

oleh Muhammad Md Tajudin|
Enjin HR12
Enjin HR12
Pada 31 Mei lalu Renault Group dan Geely mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama Horse Powertrain Limited.

Tidak sampai seminggu, Horse mengumumkan permulaan pengeluaran enjin HR12 di kilangnya di Mioveni, Romania.

Pantas bukan? Horse sebenarnya sudah beroperasi pada 2023 selepas ditubuhkan oleh Renault Group. 

Pengumuman pada 31 Mei secara langsung meletakkan Horse sebagai subsidiari Horse Powertrain Limited selain Aurobay dari Geely (sebelum itu bersama Volvo Cars).

Enjin HR12 1.2 liter tiga silinder dari Horse digunakan di dalam beberapa model termasuk hibrid.

Enjin itu akan dipasang pada model baharu Dacia Duster. Kilang Horse Valladolid di Sepanyol akan terus menghasilkan enjin untuk Renault Astral dan Espace.

Enjin 1.2 liter turbo Austral mempunyai dua jenis iaitu mild hybrid 48 dan hibrid penuh E-Tech.

Penuangan blok silinder turut dibuat di foundri aluminium terbesar seumpamanya di Romania dan di dalam ekosistem Horse.

Horse membuat pelaburan besar untuk pengeluaran enjin HR12 dengan lebih daripada 75 peratus stesen kerja sedia ada diubah suai dan 24 stesen kerja baharu dibina.

Pelaburan tersebut menjadikan keseluruhan kitaran pengeluaran termasuk penuangan dan penyiapan blok silinder dapat dibuat secara dalaman.

Horse turut melabur di dalam pengujian canggih dan jaminan mutu di Mioveni termasuk sistem pengujian kebocoran helium.

 

 Geely-Renault Group

 

Pelaburan juga digunakan untuk pengimbas CT blok silinder dan mesin pencucian dan mesin pengering bertekanan tinggi.

Hasil penambahan keupayaan, syarikat menjangkakan mampu mengeluarkan 450,000 enjin setahun.

18 peratus daripada pengeluaran akan dihantar kilang Horse di Bursa, Turkiye.

Enjin HR12 1.2 liter tiga silinder petrol direka untuk memenuhi pelbagai keperluan produk. Enjin itu menghasilkan 130 ps pada 4,500 rpm dan tork setinggi 230Nm pada 1,800 rpm.

Dibangunkan untuk pasaran Kesatuan Eropah (EU) dan global, enjin HR12 memenuhi piawaian EU6D dan juga direka untuk peraturan Euro7 baharu.

Di antara teknologi HR12 ialah penyejuk udara bercas air dan lejang dibuat panjang untuk penggunaan bahan api yang ekonomikal.

Penulis: Muhammad Md Tajudin