Honda X-ADV Special Edition 2026, Matte Pearl Glare White dan grafik ala Transalp dan Africa Twin

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda X-ADV Special Edition 2026
Honda X-ADV Special Edition 2026
Honda X-ADV, sebuah model yang menggabungkan keupayaan motosikal pengembaraan dengan praktikaliti skuter besar, terus menerima kemas kini.

Setelah menjalani perubahan ketara pada model X-ADV 2025 yang diperkenalkan tahun lalu, Honda menumpukan pada estestik untuk model tahun 2026.

X-ADV 2026 mengekalkan asas reka bentuk dan spesifikasi teknikal yang diperkenalkan pada X-ADV 2025.

Perubahan paling menonjol ialah warna baharu Special Edition Matte Pearl Glare White.

Tidak hanya kejuruteraan 'warna', set grafik biru dan merah yang dinamik jelas diinspirasikan daripada model kembara Honda yang ikonik iaitu Transalp dan Africa Twin.

Model Special Edition X-ADC 2025 sebelum ini berwarna Matte Goldfinch Yellow.
Honda X-ADV Special Edition 2026 Eropah

 

Rangkaian Kuasa

Selain Special Edition, X-ADV 2026 kekal seperti sebelum ini. Enjin 745cc menghasilkan kuasa puncak 58.6 ps pada 6,750 rpm dan tork maksimum 69Nm pada 4,750 rpm.

Satu yang istimewa untuk pasaran Eropah ialah penunggang dengan lesen A2 ditawarkan versi terhad 47.6 ps.

Model ini boleh ditingkatkan kepada kuasa penuh oleh pengedar Honda apabila diperlukan.

Sistem transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) 6-kelajuan menampilkan jadual penukaran automatik yang diintegrasikan dengan empat mod iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel.

 

Honda X-ADV Special Edition 2026 Eropah

 

Selain itu, terdapat juga pilihan mod User yang boleh disesuaikan sepenuhnya oleh penunggang.

Peningkatan pada model 2025 merangkumi tindak balas kelajuan rendah yang lebih lancar dan boleh dimanfaatkan di dalam lalu lintas bandar atau semasa pusingan U.

Enjin ini direka untuk kecekapan bahan api, dengan penggunaan bahan api 3.6 L/100km (mod WMTC).

Ini membolehkan X-ADV mencapai jarak perjalanan yang berpotensi melebihi 360 km dari tangki bahan api 13.2 liter dan sesuai untuk perjalanan harian mahupun jarak jauh.

 

Honda X-ADV 2026

 

Ciri-ciri Utama Honda X-ADV

Gayaan dan Perkakasan:

  • Reka bentuk tajam dan agresif, yang telah diperkemas pada model 2025.
  • Lampu depan LED berkembar X-ADV menampilkan Daytime Running Lights (DRL) dan pertama di dunia untuk motosikal dan turut mengintegrasikan lampu isyarat.
  • Honda juga menerapkan teknik hidden eye dengan menggelapkan kawasan sekitar lensa projektor untuk menonjolkan DRL.
  • Skrin TFT penuh warna 5-inci yang menawarkan paparan jelas dan mudah dibaca (menggunakan optical bonding untuk mengurangkan silau), dilengkapi dengan Honda RoadSync untuk ketersambungan telefon pintar yang lancar.
  • Ini membolehkan penunggang mengakses navigasi turn-by-turn, panggilan, dan muzik secara intuitif melalui kawalan pada hendal kiri yang bercahaya.
  • Ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 22L yang mampu memuatkan topi keledar muka penuh, diterangi oleh lampu LED dan dilengkapi soket USB-C untuk pengecasan peranti. Kotak simpanan turut disediakan untuk kemudahan tambahan.
  • Penggunaan bahan lestari seperti Durabio™ untuk reraut dan pelindung angin, serta bahan kitar semula daripada bampar kereta Honda untuk kotak bagasi dan bahagian bawah pelana. 
  • Ketinggian tempat duduk 820 mm yang direka semula pada model 2025 untuk capaian permukaan jalan yang mudah, serta pelana yang mengandungi 10% lebih busa uretana untuk keselesaan.
  • Perubahan pada reka letak peredam pelana juga telah meningkatkan pembukaan dan penutupan.
  • Pelindung angin yang boleh dilaras tiga peringkat dengan satu tangan, menawarkan fleksibiliti untuk mengoptimumkan aliran udara. Ketinggian keseluruhan berbeza 139 mm dengan kecondongan 11°.
  • Pelindung tangan plastik yang lasak membantu mengelak angin, hujan dan batu.
  • Plat aluminium yang telah melalui proses shot peening untuk perlindungan tambahan.
  • Kawalan Jelajah (Cruise Control) sebagai ciri standard, meningkatkan keselesaan terutamanya untuk perjalanan lebuh raya yang panjang. Ia berfungsi dengan lancar dengan DCT.
  • Sistem Smart Key menawarkan kemudahan operasi tanpa kunci untuk penghidupan, penutup tangki bahan api dan pelana. Ia juga mempunyai fungsi panggilan semula dan boleh mengunci/membuka kunci Top Box Smart.
  • Lampu isyarat belakang dilengkapi fungsi Emergency Stop Signal (ESS) yang mengaktifkan lampu kecemasan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain semasa brek mendadak.
  • Lampu isyarat juga mempunyai fungsi pembatalan automatik yang pintar berdasarkan perbandingan kelajuan roda depan dan belakang.
  • Tongkat tengah dengan sensor kecondongan dipasang sebagai standard.

Elektronik :

  • Kawalan Throttle By Wire (TBW) menyediakan empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel.
  • Mod User membolehkan penunggang menyesuaikan tetapan kuasa (rendah/sederhana/tinggi), brek enjin (rendah/sederhana/tinggi), dan HSTC (rendah/sederhana/tinggi/OFF).
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tiga tahap intervensi dan pilihan OFF, dioptimumkan pada model 2025 untuk kawalan yang lebih lancar dalam tetapan Gravel dan Rain, meningkatkan keyakinan penunggang dalam pelbagai keadaan jalan.
  • Tahap 1 dengan intervensi roda belakang yang minimum, Tahap 2 adalah tetapan asas untuk daya cengkaman umum dan Tahap 3 menyediakan kawalan maksimum untuk jalan licin.

Casis:

  • Rangka berlian keluli tiub yang ringan dan kuat dengan ruang mencukupi untuk penyimpanan bawah pelana.
  • Fork depan USD jenis kartrij 41 mm dengan keupayaan pelarasan prabeban spring dan redaman lantunan, menawarkan pergerakan 153.5 mm.
  • Penyerap hentak belakang, yang boleh dilaraskan untuk prabeban spring, menggunakan reka bentuk tekanan terpisah satu tiub. Ia berfungsi dengan lengan ayun aluminium yang dibina daripada bahagian palang berongga dimesin dan lengan berbentuk U melalui sistem Pro-Link.
  • Roda depan 17 inci dan belakang 15 inci menggunakan jejari keluli tahan karat dan tayar corak blok, menyumbang kepada keupayaan X-ADV untuk menyerap permukaan jalan yang kasar dengan selesa.
  • Saiz tayar 120/70 R17 di hadapan dan 160/60 R15 di belakang dengan injap berbentuk L untuk kemudahan pemeriksaan tekanan udara.
  • Sistem brek terdiri daripada brek cakera berkembar 296 mm dengan angkupempat omboh di hadapan dan cakera tunggal 24 0mm dengan angkup satu omboh di belakang, semuanya berfungsi melalui ABS dua saluran.
  • Jarak kelegaan bumi165 mm membolehkan X-ADV menakluki pelbagai permukaan jalan dengan yakin.
  • Berat (curb) keseluruhan 237 kg.

Di United Kingdom, Honda X-ADV Special Edition 2026 dijual pada harga £12,699 (kira-kira RM71,414), manakala X-ADV 2026 standard berharga £11,499 (kira-kira RM64,660).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda X-ADV 2026

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Masalah pada ESL itu telah menyebabkan kunci pemegang X-ADV 750 V2 tidak boleh dibuka dan…
Telah Diuji
Mereka mula menggegarkan dunia menerusi pengenalan skuter X-ADV dengan sesaran enjin 750 cc, namun…
Pelancaran Motosikal
Honda X-ADV masih lagi mengekalkan enjin parallel twin empat lejang 745 cc yang dipadankan dengan…