Honda X-ADV 2021 dilancarkan di Eropah - enjin Euro5 lebih berkuasa!

oleh Mohamad Hanif|
Antara model yang paling menarik perhatian dan untuk model tahun 2021, Honda Eropah telah mendatangkan beberapa perubahan kepada skuter kembara Honda X-ADV 2021.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perubahan yang ketara adalah enjin 745 cc yang kini mampu memenuhi regulasi pelepasan emisi Euro5, serta beberapa ciri lain seperti pendikit ride-by-wire, camshaft baharu dengan durasi injap yang berbeza, penambahbaikan kepada sistem ekzos dan garis merah (redline) enjin yang lebih tinggi.

Perubahan yang dibawakan bukan sahaja menjadikan enjin X-ADV ini lebih bersih, akan tetapi mampu melonjakkan kuasa kepada 57.8 kuasa kuda @ 6,750 rpm dan 69 Nm pada putaran enjin 4,750 rpm.

 


Kotak gear DC juga turut diberikan penekanan dengan penggunaan nisbah tiga gear terendah yang lebih pendek untuk pecutan yang lebih baik, serta nisbah yang panjang untuk gear 4,5 dan 6 untuk tahap ekonomi yang lebih berkesan.

Oleh sebab itu, Honda X-ADV 2021 mampu bergerak sejauh 365 km untuk setangki bahan api penuh (13.2 liter).

 


Dari segi tunggangan, Honda X-ADV mendatangkan sehingga lima mod yang boleh dipilih termasuklah Rain, Standard, Sport, Gravel dan User, di mana empat mod terawal itu tadi mengubah tetapan pada pendikit, ABS, dan kawalan cengkaman bersesuaian dengan keadaan jalan.

Sementara mod User pula membolehkan penunggang memilih sendiri tetapan yang diinginkan selain daripada menetapkan cara kotak gear DCT beroperasi dalam lima tahap berbeza.

Dari segi penampilan, Honda X-ADV kini mendapat rupa baharu yang lebih agresif, terima kasih kepada lampu LED yang telah direka semula, panel badan serba baharu dengan rekaan yang lebih tajam.

 


Lampu baharu itu tadi menampilkan ciri DRL yang mampu berubah kadar terang bergantung kepada kondisi pencahayaan sekeliling.

Cermin windscreen hadapan didatangkan dengan lima posisi yang boleh ditetapkan, manakala pelana pula telah direka semula supaya lebih tipis dan memudahkan urusan penunggang naik dan turun.

Segala informasi penting akan dipaparkan pada skrin TFT bersaiz 5 inci di mana ia boleh dikawal dengan arahan suara, serta sambungan kepada peranti pintar.

 


Untuk mengecas peranti, slot USB telah disediakan bagi menggantikan soket 12V pada model terdahulu, dan ruang kargo pula meningkat kapasitinya kepada 22 liter.

Untuk keselamatan tambahan, Honda X-ADV 2021 dilengkapi dengan sistem berhenti kecemasan di mana lampu indikasi akan menyala saat anda menekan brek dengan kuat pada kelajuan 53 km/j, dan akan terpadam dengan sendiri setelah anda selesai melepasi halangan tersebut.

Harga jualan pula masih belum diumumkan oleh Honda Eropah.