Bertempat di Litar Suzuka, Jepun, Honda kini sedang menjalankan ujian terhadap model hot hatch Civic Type R generasi baharu FL (FE kod nama untuk sedan).

Beberapa gambar teaser turut dibekalkan, dan meskipun ia masih lagi sarat dengan pelekat samaran, terdapat beberapa perincian menarik yang boleh didapati.
Seperti contoh, unit sayap belakang yang besar dan agresif, diikuti dengan tip ekzos posisi tengah, angkup brek Brembo berwarna merah, diikuti tayar Michelin Pilot Sport 4.

Jika dibandingkan dengan model Civic Type R FK8, rekaan Civic Type R baharu ini dilihat jauh lebih kemas tanpa sebarang elemen Gundam, namun ia jauh lebih agresif jika dibandingkan dengan Civic hatchback dan Civic Si.
Tiada sebarang spesifikasi didedahkan buat masa ini, namun Civic Type R generasi baharu ini dijangka menggunakan enjin 2.0 liter turbo yang dinaiktaraf dan ia bakal diperkenalkan secara rasmi pada tahun hadapan.