Antara pengumuman utama, Honda menyatakan ia akan mengurangkan pelaburan keseluruhan dalam segmen EV daripada ¥10 trilion (sekitar RM307 bilion) kepada ¥7 trilion menjelang tahun fiskal 2031. Sasaran jualan EV global turut disemak turun dari 30% kepada 20% menjelang 2030. Perubahan ini mencerminkan realiti semasa di mana pertumbuhan pasaran EV tidak serancak yang dijangka sebelum ini, terutamanya di luar China.
Honda yakin jualan kenderaan Hybrid akan terus berkembang dengan baik sehingga 2030
Sebagai tindak balas, Honda akan memperkenalkan 13 model hibrid generasi baharu di peringkat global antara 2027 hingga 2030. Ini termasuk sistem hibrid yang lebih efisien untuk kenderaan bersaiz besar, sekaligus mengekalkan daya saing jenama ini dalam pasaran ICE dan hibrid yang masih kukuh di banyak rantau termasuk Asia Tenggara.
Perancangan sistem ADAS Honda yang baharu
Taklimat tersebut turut memperincikan hala tuju baharu dalam teknologi keselamatan dan bantuan pemandu. Honda kini sedang membangunkan sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) generasi baharu yang mampu mengendalikan operasi seperti pecutan dan stereng secara pintar, termasuk dalam situasi trafik kompleks di bandar. Teknologi ini bakal diperkenalkan pada model EV dan HEV baharu seawal separuh kedua dekad ini.
Kenderaan Hybrid Honda generasi akan datang lebih efisen bahan api pada tahun 2027
Honda juga membuat keputusan penting untuk menangguhkan pelaburan mega bernilai C$15 bilion (sekitar RM51 bilion) bagi kilang EV baharu di Ontario, Kanada mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati terhadap pengembangan infrastruktur EV luar Jepun. Namun, ia menegaskan bahawa langkah ini hanyalah penangguhan sementara dan bukan pembatalan.
Honda dalam perancangan perniagaan akan mengurangkan pelaburan EV dari 10 Trillion Yen kepada 7 Trillion Yen, fokus kembali kepada Hybrid
Meskipun terdapat pelarasan strategi jangka pendek, Honda mengekalkan komitmen jangka panjang untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050. Ini termasuk peralihan penuh ke model EV dan fuel cell menjelang 2040, selari dengan matlamat global syarikat.
Logo H baru untuk EV dan Hibrid
Sebagai simbol perubahan, Honda turut akan memperkenalkan logo “H” baharu yang lebih moden khusus untuk model-model EV dan HEV bermula 2027. Dalam masa sama, sistem pengeluaran global juga akan distruktur semula agar lebih fleksibel dan responsif terhadap permintaan pasaran yang sentiasa berubah.
➡️ Untuk kenyataan rasmi penuh oleh Honda, layari: global.honda/en/newsroom/news/2025/c250520eng.html