Honda Super Cub 110 2022, enjin baharu dan harga sedap didengar

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Super Cub 110 2022
Honda Super Cub 110 2022
Honda Super Cub, sebuah motosikal bersejarah, legenda dan ikonik yang sudah terjual melebihi seratus juta unit sejak dikeluarkan pada tahun 1958.

Super Cub masih dikeluarkan sehingga kini termasuk varian kembara dan lasak Cross Cub.

Di negara kita, Boon Siew Honda pernah membawa masuk Super Cub C125 yang dijual pada harga premium dan sesuai dijadikan barang simpanan (collector's item).

Honda mempunyai banyak model klasik yang dimodenkan dan satu daripadanya ialah Super Cub 110 pada harga yang lebih sedap didengar.

Model itu dijual di Jepun dan Honda baru sahaja mengumumkan penawaran versi 2022.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda Super Cub 110 2022

 

Apa yang baharu? Enjin dan beberapa kelengkapan lain yang membuatkan penulis terawang jika ianya ditawarkan di negara kita.

Enjin lama JA10E 109 cc diganti dengan enjin JA59E yang mematuhi piawaian emisi baharu di Jepun.

Sesaran masih sama tetapi saiz gerek dan lejang berbeza, enjin dahulu mempunyai saiz 50.0 mm x 55.6 mm manakala yang terbaru berukuran 47.0 mm x 63.1 mm.

Nisbah mampatan juga berbeza iaitu 9.0 untuk yang lama dan 10.0 bagi enjin baharu.

Satu lagi perbezaan ialah daya kilas enjin dengan yang lama berkuasa 8.5 Nm 5,500 rpm manakala model baharu sedikit meningkat iaitu 8.8 Nm pada 5,500 rpm.

 

Honda Super Cub 110 2022

 

Kuasa kedua-dua model pula kekal 8 ps pada 7,500 rpm. Penggunaan minyak model baharu juga sedikit jimat.

Super Cub 110 dilengkapi sistem suntikan PGM-FI namun tangki minyak model baharu lebih kecil iaitu 4.1 liter atau berkurang 0.2 liter berbanding sebelum ini.

Kotak gear kekal dengan empat kelajuan kecuali nisbah gear satu hingga empat yang berbeza. 

Lagi perubahan besar ialah brek depan kini dilengkapi cakera dengan sistem ABS sebagai ciri standard. Roda lidi pula diganti dengan sport rim bercabang dan tayar tanpa tiub.

Paparan meter mempunyai pelbagai maklumat seperti posisi gear, jam, purata penggunaan minyak dan sebagainya.

 

Honda Super Cub 110 2022

 

Seperkara lagi yang diperhatikan, model 2022 sedikit lebar iaitu 705 mm atau bertambah 10 mm berbanding model sebelum ini.

Selain lebar, model 2022 juga sedikit tinggi dengan jarak kelegaan bumi 138 mm dan tinggi pelana 738 mm atau pertambahan 3 mm untuk kedua-dua ukuran. 

Panjang dan tinggi kekal sama iaitu 1,860 mm dan 1,040 mm dan dengan beberapa perubahan boleh dijangka berat bertambah iaitu 101 kg berbanding 99 kg sebelum ini.

 

Honda Super Cub 110 2022

 

Dari segi warna pula, pilihan Honda Jepun menggiurkan seperti Wave Blue Metallic, Pearl Flash Yellow, Virgin Beige, Tasmanian Green Metallic dan Classical White.

Honda mensasarkan untuk menjual 7,000 unit Super Cub 110 setahun di Jepun dan bagaimana pula dengan harga?

302,500 yen atau bersamaan RM10,269. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Honda Super Cub 110 2022

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Amalan itu sebenarnya turut dipraktikkan di negara-negara tertentu demi memastikan penawaran model…