Tahun 2022 juga turut merangkap ulang tahun yang ke-25 model tersebut sejak pertama kali dilancarkan pada tahun 1996.
Untuk pasaran Jepun, terdapat dua varian utama yang ditawarkan iaitu Step WGN Air dan Step WGN Spada yang lebih premium penampilannya.

Dari segi rupa paras, tidak dapat dinafikan Step WGN masih lagi mengekalkan konfigurasi dua kotak namun dengan rekaan yang lebih bersih dan minimalis, tidak seperti model generasi terdahulu.
Ia membawakan rekaan lampu hadapan yang berpetak, serta penawaran gril yang berbeza bergantung kepada varian yang dipilih.
Sementara bahagian belakang pula menempatkan unit lampu LED menegak dengan rekaan yang agak nipis bagi membolehkan pihak jurutera Honda memaksimumkan bukaan pintu belakang.

Sama seperti model terdahulu, Honda Step WGN mengekalkan konfigurasi tiga baris tempat duduk yang mampu memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa, dengan ruang kaki dan kepala yang lebih selesa.
Untuk tempat duduk, Honda menggunakan upholsteri Fabtech yang direka supaya mudah untuk dibersihkan daripada kekotoran air dan minyak, sesuai untuk kegunaan mereka yang berkeluarga terutama mereka yang mempunyai kanak-kanak kecil.
Rekaan papan pemuka pula menempatkan skrin infotainmen bersaiz 11.4 inci, skrin kluster instrumen digital 10.25 inci, ruang simpanan, tray pada bahagian atas glove box, dan gugusan butang fungsi di bahagian bawah corong pendingin hawa.

Tiada lagi kehadiran tombol gear, penukaran mod pemanduan kini dipermudahkan dengan menggunakan butang fungsi sahaja.
Kesemua varian Honda Step WGN ditawarkan dengan kelengkapan Honda SENSING sebagai ciri standard.
Tiada sebarang informasi berhubung penawaran enjin, namun dalam teaser yang didedahkan sebelum ini minivan generasi baharu itu akan turut ditawarkan dengan unit trenkuasa hibrid e:HEV sebagai alternatif kepada varian petrol.

Model pesaing kepada Nissan Serena serta Toyota Noah (dan Voxy) itu akan mula dijual di Jepun bermula musim bunga tahun ini (Mac-Jun).