Nampaknya trend penurunan harga kenderaan elektrik (EV) bukan lagi terpencil.
Semasa diperkenal di UK pada Julai 2023 (tempahan pada Oktober), e:Ny1 Elegance dan Advance masing-masing dijual pada harga 44,995 pound dan 47,195 pound.
Promosi yang berlangsung dari Disember 2023 sehingga Januari 2024 pula menyaksikan Honda memberi sumbangan deposit sebanyak 8,000 pound.
Kini e:Ny1 Elegance dan Advance menjadi lebih murah iaitu 39,995 pound (RM238,234) dan 42,195 pound (RM251,507).
Harga itu menghampiri Kona Electric dan BYD Atto 3 namun masih lebih tinggi berbanding kedua-duanya.
Honda menjadikannya lebih menarik dengan menawarkan sumbangan deposit sebanyak 3,000 pound (RM17,883) sehingga 30 Jun.
Walaupun nampak sama seperti HR-V, e:Ny1 dibangunkan dari pelantar e:N Architecture F yang baru dibangunkan.
Pembangunan pelantar ditumpukan pada tiga ciri utama iaitu struktur badan ketegaran tinggi, pusat graviti rendah dan bahagian bawah lantai dengan perhatian pada ciri aerodinamik.
Tiga ciri tersebut diberi perhatian bagi memastikan e:Ny1 memberikan pemanduan yang menyeronokkan dan meyakinkan.
Besi kekuatan tinggi digunakan pada sebahagian atau 47 peratus badan e:Ny1 (berdasarkan berat).
Dari segi spesifikasi, e:Ny1 Advance lebih lengkap dengan bumbung kaca panoramik, kamera pelbagai pandangan, pintu but berkuasa dan Honda Parking Pilot.
Lebih kelengkapan juga bermakna lebih berat. e:Ny1 Advance mempunyai berat 1,752 kilogram (kg) berbanding 1,730 kg untuk e:Ny1 Elegance.
Spesifikasi elektrik Honda e:Ny1:
- Bateri: Litium-ion 68.8 kWj
- Jarak: 412 km (gabungan WLTC)
- Kuasa: 150 kW / 204 ps, 310Nm
- Pecutan 0 - 100 km/j: 7.7 saat
- Kelajuan maksimum: 160 km/j
- Pengecasan biasa AC 11 kW 10 - 80%: 6 jam
- Pengecasan pantas DC 10 - 80%: 45 minit (maksimum 78 kW)
- Kapasiti pengecas terbina dalam: AC 11 kW
Penulis: Muhammad Md Tajudin