Honda Sedia 15 Model Hybrid Baharu, EV Tidak Lagi Jadi Fokus Utama

oleh Qalif Latif|
Honda dilihat semakin serius mengubah strategi pembangunan kenderaannya apabila kini memberi tumpuan lebih besar terhadap teknologi hybrid generasi baharu berbanding EV sepenuhnya.

Dalam satu sesi taklimat perniagaan terbaru, Honda memperlihatkan dua model prototaip baharu terdiri daripada sebuah sedan menggunakan jenama Honda dan sebuah SUV di bawah jenama mewah Acura. Kedua-dua model itu dijangka mula dijual sekitar tahun 2028.

Walaupun masih dilabel sebagai prototaip, reka bentuk kedua-duanya dilihat hampir bersedia untuk versi produksi.

Rekaan Ala Fastback, Bayangan Model EV Yang Dibatalkan

Sedan Honda tampil dengan siluet fastback berprofil rendah serta garis bumbung yang sangat landai, mengingatkan kepada model Honda 0 Sedan yang sebelum ini dilaporkan dibatalkan.

Honda fastback

Acura SUV

SUV Acura pula mempunyai elemen rekaan yang seakan model Acura RSX EV yang turut tidak diteruskan pembangunannya.

Kedua-dua model tersebut akan menggunakan platform baharu serta sistem hybrid generasi seterusnya yang dibangunkan khas untuk meningkatkan kecekapan bahan api.

Menurut Honda, sistem hybrid baharu itu mampu menawarkan peningkatan kecekapan lebih 10 peratus berbanding teknologi hybrid semasa yang diperkenalkan pada tahun 2023.

Honda Dakwa Bakal Miliki Sistem Gerak Kuasa Paling Efisien Dunia

Honda turut menyasarkan untuk memperkenalkan 15 model menggunakan sistem hybrid generasi baharu menjelang Mac 2030, dengan sebahagian besar daripadanya ditawarkan di pasaran Amerika Utara.

Kebanyakan model tersebut juga dijangka terdiri daripada SUV dengan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menggunakan bantuan motor elektrik.

Selain meningkatkan kecekapan bahan api, Honda turut membangunkan platform lebih ringan bagi mengurangkan berat kenderaan serta menurunkan kos pengeluaran sehingga lebih 30 peratus.

Malah, Honda mendakwa model hybrid baharu yang bakal dilancarkan bermula 2027 akan menggunakan “sistem gerak kuasa paling efisien di dunia”.

Bagi merealisasikan rancangan tersebut, Honda dijangka melabur sekitar 4.4 trilion yen (sekitar RM129 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk pembangunan model petrol dan hybrid baharu.

Pelaburan EV Dikurangkan, Tetapi Tidak Dihentikan

Dalam masa sama, Honda turut mengakui pendekatan EV sepenuhnya kini diperlahankan, khususnya selepas beberapa model EV dibatalkan termasuk Honda 0 Sedan, Honda 0 SUV, Acura RSX serta dua model Afeela hasil kerjasama bersama Sony.

Namun begitu, Honda menegaskan syarikat itu tidak meninggalkan EV sepenuhnya.

Sebaliknya, pelaburan sekitar 0.8 trilion yen (kira-kira RM23.5 bilion) masih diperuntukkan bagi pembangunan EV masa depan, terutama untuk pasaran Jepun dan Asia.

Strategi baharu ini memperlihatkan Honda kini memilih pendekatan lebih berhati-hati dengan memberi fokus kepada hybrid sebagai jambatan utama sebelum peralihan penuh ke EV berlaku secara lebih meluas di pasaran global.