
Satu lagi produk menarik ialah mesin membajak dan Honda tidak meminggirkannya dengan mengeluarkan Honda Salad FF300 20th Anniversary.
Mesin bajak ini dikeluarkan sempena ulang tahun ke-20 Salad FF300 dan dalam jumlah terhad 1,000 unit sahaja.
Mesin bajak pun ada edisi terhad, hebat bukan? Salad FF300 mula dijual pada tahun 2003 dan mudah untuk digunakan walaupun tanpa pengalaman.
Pembajak sebegini sesuai untuk digunakan oleh pekebun kecil atau individu yang minat bercucuk tanam.

Sama ada Honda Cub atau pikap kecil, ianya memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi Jepun puluhan tahun dulu.
Mesin dan jentera dapat meningkatkan produktiviti dan lebih cepat mengeluarkan hasil berbanding kaedah manual.
Spesifikasi Honda Salad FF300S:
- GXV57T 57.3 cc, empat lejang, OHV, silinder tunggal, sejukan udara
- 2.0 ps @ 4,800 rpm
- Tangki petrol 1 liter
- Gear ke depan 3 (2 pugar) undur 1
- Sistem Active Rotary System (ARS)
- Lebar bajak 450/290 mm (cakar dalam)
- Diameter cakar 280 mm
- 131 rpm
- 51/56 kg
- 1,465 mm (p) x 465 mm (l) x 1,015 mm (t)

Sejarah Honda dalam pembangunan mesin bajak bermula pada tahun 50-an.
Pada masa itu Honda mahu menghasilkan mesin bajak yang senang dan cekap untuk digunakan kaum wanita dan golongan berusia.
Dua kategori pengguna tersebut kekal mengusahakan kerja-kerja pertanian pada masa warga lain meninggalkan kampung halaman semasa Jepun pesat membangun.
Pada tahun 1959 Honda memperkenalkan mesin bajak pertama yang dikenali sebagai F150.

Honda terus membangunkan mesin bajak lain dan memperkenalkan Komame F200 pada 1980.
Salad FF300 diperkenalkan pada 2003 dan disusuli FF500 dan FFV300 pada 2013.
Jualan kumulatif siri itu dari Mac 2003 hingga Januari 2023 dianggarkan sudah mencecah 117,000 unit.
Selain logo khas ulang tahun, Honda turut membekalkan sarung khas untuk mesin bajak Salad FF300 20th Anniversary.
Harga yang ditawarkan ialah 187,000 yen (RM6,207.85) dan 199,980 yen (RM6,638.75).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
