Tidak seperti enjin V6 terdahulu yang menggunakan sistem SOHC, enjin dengan kod nama J35Y8 ini menggunakan teknologi DOHC (double over head cam) yang diperoleh daripada Acura TLX varian Type S.
Menurut Honda, enjin baharu ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 285 hp @ 6,100 rpm, naik 5 hp sementara daya kilas puncak pula masih kekal pada angka 355 Nm @ 5,000 rpm.

Enjin V6 ini masih lagi mengekalkan konsep asas seperti lubang bore, lejang, sudut tebing 60 darjah dan nisbah mampatan 11.5:1 yang sama seperti sebelumnya.
Selain itu, enjin V6 DOHC ini terus menggunakan tali sawat pemasa dengan selang penukaran 160,000 km yang sama seperti enjin V6 SOHC terdahulu.
Dari sudut pelepasan emisi, enjin V6 baharu ini mempunyai penarafan kenderaan rendah emisi SULEV30 dengan pengurangan kadar pelepasan zarah dan NOx sebanyak 40 hingga 50 peratus.

Sistem tekanan suntikan bahan api dipertingkatkan sebanyak 50 peratus kepada 30 MPa (atau 4,351 psi) diikuti dengan lubang penyuntik yang lebih kecil dan semburan yang lebih teratur untuk kawalan bahan api yang lebih tepat.
Biarpun tanpa kehadiran sistem VTEC, enjin baharu ini juga boleh melaraskan pemasaan injap kemasukan dan ekzos secara berterusan, membolehkan pemanduan yang lebih relaks dan lancar ditawarkan oleh Honda Pilot 2023 ini.
Difahamkan, dengan perubahan yang disebutkan tadi enjin V6 ini mampu untuk memenuhi syarat pelepasan asap sekurang-kurangnya sehingga tahun 2030.
Baca: Honda Pilot 2023
Sumber: Car and Driver