Motosikal khusus untuk latihan lesen itu akan dikenali sebagai NX400L, di mana ianya bakal menggantikan motosikal latihan CB400 SuperFour yang telah dihentikan pengeluarannya pada Oktober 2022.

Seperti model asasnya, NX400L juga akan dilengkapi nadi 2 silinder bersesaran 399 cc sejukan cecair yang menghasilkan 46 dan 38 Nm.
Pastinya sebagai sebuah motosikal latihan, ia turut didatangkan dengan beberapa perubahan dan kelengkapan khas untuk membolehkan penunggang baru berlatih dengan selamat.

Antara perubahan yang dibawakan ialah pengurangan nisbah gear, sistem gantungan direndahkan dan bentuk hendal yang berbeza bagi memudahkan kawalan pada kelajuan rendah.
Bagi memudahkan pembelajaran untuk penunggang kurang inci juga, ketinggian tempat duduk NX400L lebih rendah iaitu 790 mm, berbanding 800 mm pada model asasnya.
Selain itu juga, ia turut dilengkapi "crash bar" di bahagian sisi, sama seperti yang dapat dilihat pada motosikal latihan di Malaysia, di mana ianya bagi mengurangkan kerosakan sekiranya berlaku kemalangan.
Satu tambahan menarik, setiap motosikal latihan di Jepun akan dilengkapi dengan lampu indikator di bahagian depan dan belakang untuk memberitahu pengajar tentang status tunggangan pelajar.
Jika dilihat, lampu indikator itu merangkumi lapan warna yang mempunyai maksud tersendiri iaitu:
- Hijau - Gear 1
- Kuning - Gear 2
- Putih - Gear 3
- Ungu - Gear 4
- Biru cerah - Laju melebihi 40 kmj
- Biru gelap - Brek hadapan
- Merah - Brek belakang
- Jingga - Enjin mati

Selain NX400L, Honda turut menghasilkan beberapa model lain khusus untuk kegunaan latihan lesen motosikal bagi kelas berbeza, iaitu NC750L (mula digunakan 2022) dan CB125F (mula digunakan 2015).
Untuk pengetahuan, NC750L didatangkan dengan dua jenis transmisi iaitu manual 6 kelajuan dan automatik DCT.
Manakala CB125F yang digunakan pula sebenarnya model khusus untuk pasaran Eropah, di mana 800 unit dihasilkan untuk kegunaan latihan di Jepun.
