Honda Navi 2022, motosikal mini guna enjin skuter!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda Navi
Honda Navi
Honda Amerika pada 17 November memperkenalkan Honda Navi, sebuah motosikal kecil dengan sesaran enjin 109.2cc.

Navi berada di dalam segmen miniMOTO Honda dengan barisan produk seperti Ruckus dan Grom yang comel dan ranggi.

Walaupun baru diperkenalkan di Amerika Syarikat, Navi terlebih dahulu dipasarkan di India pada tahun 2016 sebelum ditamatkan pada tahun 2019.

Navi nampak seperti motosikal bergear namun sebenarnya menggunakan enjin skuter automatik Honda Activa yang sangat popular di India. 

Selain itu, lupakan meter kelajuan digital dan sistem suntikan bahan api kerana Navi menggunakan komponen konvensional.
Honda Navi

 

Navi digerakkan enjin 109.2cc, silinder tunggal, dua injap dengan overhead-camshaft empat lejang yang dicondongkan ke arah 80 darjah.

Ukuran bore dan stroke ialah 55.0 mm dan 55.6 mm dengan nisbah mampatan 9.5:1.

Navi menggunakan karburator 16 mm dan kuasa enjin dipindahkan ke roda dengan transmisi automatik V-Matic. 

Walaupun menggunakan karburator, enjin Navi mempunyai teknologi eSP yang dapat mengurangkan geseran.

Teknologi itu menyumbang kepada penggunaan bahan bakar yang ekonomikal iaitu 46.8km/l (standard EPA) dengan tangki yang mempunyai kapasiti 3.4 liter.

 

Honda Navi

 

Satu lagi ciri menarik Navi ialah gerakan brek belakang dibuat menggunakan tuas brek kaki kanan, berbeza dengan tuil brek tangan pada skuter.

Navi juga tidak mempunyai pelantar untuk merehatkan kaki dan anda perlu menunggangnya seperti motosikal bergear.

Enjin di belakang juga bermakna ada ruang di kosong ditinggalkan di bahagian depan.

Ruang itu dimanfaatkan dengan kotak boleh kunci untuk memuatkan pelbagai jenis barangan seperti jaket, botol air, sarung tangan dan apa sahaja yang difikirkan perlu.

Honda Navi

Dari segi reka bentuk, panel badan Navi nampak seperti model CRF dan walaupun nampak comel masih kelihatan garang.

Ada empat warna ditawarkan iaitu Merah, Grasshopper Green, Nut Brown dan Ranger Green.

Navi dilengkapi suspensi teleskopik 26.8 mm di depan dan suspensi tunggal pada sisi enjin. Saiz roda depan ialah 12 inci dan 10 inci di belakang.

Tugas memperlahankan dan menghentikan diberi pada brek jenis gelendong saiz 130 mm di depan dan belakang. Tuil pada sebelah kiri hendal pula untuk brek parkir.

 

Honda Navi

 

Dari segi ukuran, jarak di antara roda ialah 50.6 inci dengan ketinggian kerusi 30.1 inci dan motosikal ini hanya seberat 107 kg.

Bukan sahaja mudah untuk ditunggang, Navi juga boleh dimuatkan di belakang pikap.

Selain praktikaliti, pemilik Navi hanya perlu menukar minyak pada setiap 4,000 km dan penapis udara pula ditukar setiap 16,000 km.

Bagaimana dengan harga? Honda Navi ditawarkan pada $1,807 sahaja atau bersamaan RM7,555.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Informasi
Tahukah anda? Pengeluaran kumulatif enjin bot (outboard motor) Honda telah pun mencecah dua juta…
Berita Global
Menurut Honda, model AWV mampu membawa muatan seberat 399 kg, menunda muatan sehingga 721 kg,…
Berita Global
Sistem bateri mudah alih dan boleh ditukar ganti yang dinamakan sebagai Honda Mobile Power Pack e…