N-VAN sudah pun ditawarkan di Jepun sebelum ini dan walaupun ditukar kepada EV masih mengekalkan ciri-ciri sebuah kenderaan komersial.
Bateri dimuatkan di bawah lantai kargo dan dibuat nipis dengan lantai yang rata dan rendah serta siling tinggi. Ruang kargo yang lapang boleh memuatkan banyak barang.
Selain itu, kerusi penumpang sisi dan belakang boleh dilipat rata untuk mengisi barang yang panjang.
Bukaan sisi N-VAN juga luas kerana tidak mempunyai tiang tengah pada penumpang sisi dan mudah untuk memuatkan dan menurunkan pelbagai saiz barang dari tepi.
Bahagian luar sama seperti N-VAN sebelum ini dan sebagai usaha ke arah masyarakat sifar impak alam sekitar, Honda menggunakan bampar kitar semula.
Bahan bampar itu diperoleh dari bampar kenderaan yang tamat kitaran hayat dan turut diguna pada jeriji depan dan perkakasan lain.
Dari segi pengendalian, N-VAN e: mempunyai pusat graviti yang rendah dan membantu dari segi kestabilan.
N-VAN e: merupakan kenderaan komersial ringan pertama yang menggunakan servo brek elektrik yang memberi tindak balas linear kepada operasi brek.
Pembrekan menjadi lancar dan penting untuk sebuah kenderaan komersial supaya muatan tidak jatuh atau berterabur.
Honda turut mengambil kira pemanduan dengan muatan dan menuruni curam dan memasang cakera brek yang lebih besar.
Apa yang Honda mahu tawarkan ialah kenderaan yang mudah dipandu, kurang memenatkan dan memberi ketenangan jiwa.
Tidak hanya kepada pemilik, sebagai sebuah EV yang senyap, N-VAN e: sesuai untuk penghantaran awal pagi atau lewat malam (penulis teringat kepada Takumi Fujiwara).
Dari segi prestasi, Honda menyasarkan N-VAN e: boleh dipandu melebihi 210 kilometer (mod WLTC) dan sudah cukup untuk penghantaran biasa.
Van ini juga dilengkapi mod ECON yang mengurangkan penggunaan kuasa oleh penyaman udara dan dapat menambah jarak pemanduan.
N-VAN e: boleh dicas menggunakan pengecas biasa dengan output 6.0 kilowatt.
Tempoh pengecasan sekitar lima jam atau senang dicas pada waktu malam sebelum keluar keesokan hari.
Selain itu, N-VAN e: boleh membekalkan tenaga kepada perkakasan elektrik semasa bekalan terputus bekalan atau bencana alam.
Van ini juga canggih dengan sambungan aplikasi telefon pintar Honda CONNECT. Pengguna boleh menetapkan pelbagai fungsi pengecasan dan sebagainya.
Dari segi keselamatan, N-VAN e: dilengkapi beg udara sisi untuk pemandu dan penumpang sisi dan pertama seumpamanya untuk van komersial ringan.
Varian terpilih iaitu N-VAN e: L4 dan FUN dilengkapi teknologi Honda SENSING seperti Sistem Brek Elak Rempuhan (CMBS) dan Kawalan Suai Pandu.
Turut dilengkapi Sistem Bantuan Laluan Susur (LKAS), Pencegah Lencongan, Lampu Tinggi Automatik dan pelbagai lagi.
Honda sudah pun memulakan ujian bersama syarikat Yamato Transport Co., Ltd. di Jepun.
Program penilaian luar negara bermula pada September 2023 dan menariknya bersama Pertamina di Indonesia.
Penulis: Muhammad Md Tajudin