Honda mulakan produksi SUV elektrik e:N1 di Thailand, mula dijual Q1 2024

oleh Mohamad Hanif|
Honda Thailand baru-baru ini memulakan produksi bagi SUV elektrik Honda e:N1 di kilang yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Honda e:N1, atau lebih dikenali dengan nama e:Ny1 membawakan rupa paras luaran persis sebuah Honda HR-V.

Namun untuk makluman, Honda e:N1 ini tidak berkongsi platform yang sama dengan SUV segmen B yang hangat di pasaran itu.
 

Honda


Sebaliknya, e:N1 ini dibangun menggunakan platform e:N Architecture F dengan membawakan tiga ciri utama, iaitu struktur badan yang tegar, titik graviti rendah dan bahagian bawah badan yang aerodinamik - semua ini menyumbang kepada pemanduan yang lebih seronok dan meyakinkan.

Platform itu juga menampilkan unit tiga-dalam-satu yang turut mengintegrasikan motor elektrik, kotak gear dan unit kuasa, di mana ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 201 hp dan 310 Nm.

Sementara pek bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 412 km untuk sekali cas penuh.
 

HONDA


Bahagian luaran - biarpun sama macam HR-V - membawakan ciri unik seperti logo H berwarna putih, diikuti dengan tulisan Honda pada bahagian belakang yang menggunakan fon huruf berbeza.

Susun atur papan pemuka pada ruang kabin e:N1 juga nyata berbeza berbanding HR-V standard, di mana ia membawakan rekaan serba baharu, selain menempatkan skrin sebesar 15 inci di bahagian tengah.

Menurut Honda Thailand, lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi model tersebut pada suku pertama tahun 2024.
 

Honda


Satu persoalan, adakah SUV elektrik ini bakal menjengah pasaran Malaysia kelak?