Honda MSX125 Grom 2022 untuk Eropah, ranggi dan comel!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Honda MSX125 Grom
Honda MSX125 Grom
Motosikal Honda bukan sahaja untuk digunakan secara harian, merentasi dunia atau bersaing di litar sahaja.

Honda juga mahu pelanggannya berseronok dan boleh dilihat melalui siri motosikal funky seperti Monkey dan Grom.

Honda Monkey mempunyai sejarah panjang dan dikeluarkan pada tahun 60-an lagi. Selain Monkey, Honda mempunyai dua buah lagi model iaitu Dax dan Ape.

Lama tanpa pengganti Honda memperkenalkan semula Monkey pada tahun 2018 yang dibangunkan dari Grom atau MSX.

Di pasaran tempatan Honda MSX diperkenalkan pada tahun 2016 dan dijual pada harga RM11,128 dan diperkemaskan dengan warna baharu pada tahun 2018.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda MSX125 Grom

Di pasaran global, Honda MSX dengan wajah baharu diperkenalkan pada tahun 2020. Di Eropah nama MSX dan Grom disatukan untuk menjadi MSX125 Grom.

Untuk model 2022 Honda memperkenalkan warna baharu Pearl Queen Bee Yellow yang begitu menyerlah.

Selain reka bentuk baharu, MSX125 Grom menggunakan paparan LCD yang kini mempunyai paparan kelajuan enjin dan indikator gear.

Enjin dengan sejukan udara masih sama kecuali transmisi yang bertambah kepada lima gear.

Dari segi teknikal, enjin 125cc itu mempunyai ukuran bore 50mm dan stroke 63.1 mm dengan nisbah mampatan 10.0:1.

Kuasa puncak adalah 9.6 hp pada 7,250 rpm dengan tork 10.5 Nm pada 5,500 rpm.

Honda MSX125 Grom

Kelajuan maksimum pula seperti biasa dan bukan satu keutamaan. Motosikal ini boleh memecut sehingga 94 km/j sahaja.

Dipadan dengan transmisi lima kelajuan ialah gegancu 15T dan 38T bagi menggerakkan roda saiz 12 inci.

MSX125 Grom menggunakan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan motosikal ini memang ekonomikal.

Penggunaan bahan api adalah 66.6km/l (mod WMTC) dan saiz tangki pula enam liter yang bermakna stesen minyak tidak perlu kerap disinggah selepas isian penuh.

Berada di Eropah bermakna piawaian emisinya ketat dan motosikal ini dibuat untuk standard EURO5 yang sudah dikuatkuasakan sejak 1 Januari 2020.

Honda MSX125 Grom

Seperkara lagi, walaupun MSX125 Grom nampak comel ianya juga membawa imej premium dengan suspensi USD warna emas dan gegelung belakang berwarna kuning.

Angkup brek depan jenis dua omboh juga berwarna emas dengan cakera 220 mm di depan dan 190 mm di belakang. 

Keselamatan penunggang pula lebih terjamin dengan ABS yang beroperasi melalui sistem IMU.

Dengan pengenalan ini adakah MSX bakal kembali ke pasaran tempatan?

Belum tahu, namun yang pasti harga MSX bukan biasa-biasa kerana posisinya sebagai motosikal gaya hidup!

Penulis: Muhammad Md Tajudin