Honda Malaysia optimis capai unjuran jualan 109,000 unit tahun ini

oleh Afandi Che Muhamad|
Susulan pelancaran Honda Odyssey baharu semalam, Honda Malaysia optimis mampu mencatatkan jualan sebanyak 109,000 unit bagi tahun ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Unjuran jualan tersebut ditetapkan selepas mengambil kira faktor perkongsian pasaran 18 peratus daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 600,000 unit bagi tahun 2018.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama (gambar) berkata, pihaknya yakin sasaran itu boleh dicapai melihatkan kepada momentum penawaran yang stabil sejak empat tahun lalu.

"Kami (Honda Malaysia) mengenal pasti aspek selepas jualan (after sales) dan kepuasan pelanggan merupakan fokus utama dalam misi kali ini.

"Menurut laporan kaji selidik dalaman, Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kami telah meningkat sebanyak 23 mata berbanding tahun sebelumnya. Justeru itu, kami memilih untuk menggembirakan pelanggan tahun ini," katanya.

Jelas Toichi, pihaknya akan menumpukan kepada tiga aspek penting iaitu pengembangan pengedar serta pengalaman pelanggan, menempatkan tenaga kerja terlatih di semua pengedar dan titik sentuhan maya pelanggan.

Setakat ini, jumlah pelaburan untuk penambahbaikan daripada aspek selepas jualan dan operasi Honda Malaysia dianggarkan sebanyak RM31 juta.
  
Mengulas lanjut, Toichi memberitahu tujuh lagi pengedar yang terdiri daripada Pusat 3S dan 2S hingga Pusat Badan dan Cat akan dibuka menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan jangkauan seterusnya memberi lebih kemudahan kepada para pelanggan Honda Malaysia.

Selain pengedar baharu, pengedar sedia ada juga akan dinaik taraf bagi menambah baik perkhidmatan dan memenuhi keperluan pelanggan yang kian meningkat.

Honda Malaysia juga meningkatkan sokongan selepas jualan dengan membuka Express Dealers, di mana pelanggan boleh menikmati servis pantas dalam tempoh satu jam tiga puluh minit berbanding dua jam yang diperlukan untuk servis biasa.

Express Dealer pertama ialah Pusat 2S HZN Express di Glenmarie, Shah Alam yang sudah sedia untuk memberi perkhidmatan pantas kepada pelanggan.

Honda Malaysia juga sedang giat mengimplementasikan Identiti Korporat (C.I) terbaharunya ke atas para pengedar untuk memberikan pelanggan imej yang lebih segar, berdasarkan kepada konsep Inovatif dan elemen Berorientasikan kepada Manusia.

C.I. baharu ini bakal meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pelbagai kemudahan terkini serta hospitaliti terbaik.

Pada tahun 2017, Honda Malaysia telah membuka dan menaik taraf enam pengedar dan jumlah keseluruhan pengambilan servis naik sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2016 sekali gus menjadi angka pengambilan servis paling tinggi pernah direkodkan Honda Malaysia.

Dengan peningkatan yang memberangsangkan itu, adalah penting untuk syarikat mempunyai lebih ramai juruteknik terlatih di setiap pengedarnya.

Bagi memenuhi keperluan ini, Honda Malaysia telah bekerjasama dengan sebuah kolej vokasional awam dan kolej automotif swasta tempatan.

Di sana, para pelajar terpilih dan graduan akan menerima latihan selama enam bulan sebelum menjadi juruteknik terlatih untuk Honda Malaysia.

Latihan tersebut akan membantu melengkapkan graduan dengan standard Fixed Right First Time (FRFT), salah satu satu komponen penting kepuasan pelanggan dalam industri automotif.

Untuk menawarkan akses lebih mudah kepada pelanggan, Honda Malaysia telah membangunkan Portal Selepas Jualan, satu titik sentuhan maya yang membolehkan pelanggan membuat temu janji servis, mengetahui status kenderaan, rekod servis danmaklumat produk yang terkini.

Portal khas ini akan dioptimumkan untuk penggunaan komputer dan peranti mudah alih dan ia akan dilancarkan pada tahun ini.

Demi memberi akses lebih luas dan meningkatkan kemudahan pelanggan, pusat panggilan Tol Percuma Honda kini dibuka 365 hari, 13 jam sehari bermula dari 9.00 pagi hingga 10.00 malam termasuk pada cuti umum.

Inisiatif yang berorientasikan kepada pelanggan dan selepas jualan ini dilaksanakan selepas Honda Malaysia mencatat jualan tahunan yang cukup memberangsangkan.

Baru-baru ini, syarikat mengumumkan rekod jualan sebanyak 109,511 unit.

Pencapaian tersebut merupakan jumlah jualan keseluruhan paling tinggi dicipta jenama kereta Bukan Nasional di Malaysia, ia membolehkan Honda Malaysia mengekalkan posisi nombor satu dalam segmen Bukan Nasional selama tiga tahun dan nombor dua dalam TIV bagi tempoh dua tahun berturut-turut tanpa gagal.

Jika dinilai daripada segi model, semua model CKD Honda menjadi peneraju dalam segmennya. 
Bagi keseluruhan operasi Honda Automobile di peringkat global, perkongsian pasaran sebanyak 18 peratus itu telah meletakkan Honda Malaysia di posisi kedua, hanya 0.1 peratus di belakang Honda Atlas Cars (Pakistan) Ltd.

Ia juga meletakkan Honda Malaysia ke dalam rangkaian pasaran penting buat Honda. 

Melihat daripada segi pasaran tempatan pula, rantau tengah mencatatkan penerimaan paling tinggi ke atas kenderaan Honda dengan melibatkan jualan keseluruhan sebanyak 47.3 peratus tahun lalu.


Berikutan rancangan Honda Malaysia untuk meneruskan pelan pengembangannya di Sabah dan Sarawak, syarikat berjaya mencatat pertumbuhan 0.8 mata daripada segi sumbangan rantau ini kepada jualan keseluruhannya, iaitu daripada 6.1 peratus pada tahun 2016 kepada 6.9 peratus tahun lepas.

Dengan kewujudan inisiatif pembangunan dan kekuatan jenama Honda, Toichi percaya ia akan membantu syarikat mencapai sasaran tersebut.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Namun begitu kami yakin ia mampu dicapai berdasarkan rekod jualan yang baik bagi tahun lalu yang…
Berita Domestik
Pencapaian tersebut menjadikan Honda Malaysia kekal kedudukan nombor satu dalam negara untuk…
Berita Domestik
Sebagai varian yang paling tinggi dalam penawaran SUV CR-V generasi baharu, CR-V e:HEV RS…