Honda Malaysia lantik Hironobu Yoshimura sebagai Pengarah Urusan, CEO baharu

oleh Mohamad Hanif|
Honda Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Hironobu Yoshimura bagi menggantikan peranan yang ditinggalkan oleh Madoka Chujo sebelum ini.

Hironobu Yoshimura memulakan tugasnya di Malaysia pada 1 April 2022, dan mempunyai pengalaman meluas di dalam Honda selama 34 tahun di dalam pelbagai bidang seperti perancangan korporat, perancangan perniagaan, pemasaran serta perkhidmatan selepas jualan.

Beliau turut memegang beberapa jawatan penting di pelbagai negara termasuklah Jepun, Thailand, dan Pakistan di mana tugas terakhirnya sebagai Presiden dan CEO Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited.

Memberikan komen berkenaan tugas baharunya di Honda Malaysia, Yoshimura berkata, "saya amat teruja untuk memegang jawatan baharu di Honda Malaysia. Negara yang unik dan berbilang ini merupakan pasaran penting bagi Honda di rantau Asia dan Oceania.

"Pemimpin-pemimpin sebelum ni telah berjaya membuatkan jenama Honda meraih pelbagai pencapaian dan menjadi pendahulu dengan memperkenalkan teknologi termaju, melancarkan model baharu dan menjadi peneraju dalam segmen kenderaan penumpang bukan nasional untuk bertahun-tahun.

"Saya tidak sabar untuk memimpin Honda Malaysia di dalam persekitaran perniagaan pasca-pandemik, dan menyumbang secara positif terhadap pertumbuhan syarikat ini.

Untuk suku pertama tahun 2022, tiga model Honda berjaya menjadi model nombor satu dalam segmen masing-masing iaitu Honda City, Honda City Hatchback dan juga Honda Civic.

Madoka Chujo menyertai Honda Malaysia pada April 2021 sebagai Pengarah Urusan dan CEO, dan dalam tempoh yang singkat Honda Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dalam kategori kenderaan penumpang bukan nasional untuk tahun kelapan berturut-turut, selain melancarkan dua model baharu iaitu City Hatchback pada Disember 2021 dan Civic pada Januari 2022.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kempen panggil semula ini merupakan salah satu daripada langkah keselamatan berjaga-jaga yang…
Berita Domestik
Senarai pusat pameran yang terpilih boleh dirujuk pada jadual di bawah, dan para pengunjung…
Berita Domestik
Bakal ditawarkan dalam varian petrol dan hibrid (e:HEV), Honda HR-V 2022 membawakan ukuran…