Honda Malaysia capai angka produksi satu juta unit

oleh Mohamad Hanif|
Honda Malaysia hari ini mencatatkan sejarah dengan pencapaian angka produksi kenderaan sebanyak satu juta unit semenjak memulakan program pemasangan tempatan pada tahun 2003 di kilang Pegoh, Melaka.

Unit yang ke-satu juta itu merupakan sebuah Honda Civic RS berwarna merah.

Dalam acara yang bersejarah itu, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia Madoka Chujo berkata, "Sudah 20 tahun sejak penubuhan Honda Malaysia di negara ini, dan sejak daripada itu kami telah berevolusi serta mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Pada tahun 2021, kami meraikan pencapaian penjualan sebanyak satu juta unit, dan setahun kemudian, saya meraikan sebuah lagi peristiwa penting iaitu  angka produksi sebanyak satu juta unit.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan syarikat Honda serta syarikat pembekal kerana usaha dan kerja keras bagi memastikan proses produksi dan operasi rantaian bekalan berjalan dengan lancar, biarpun berdepan dengan cabaran termasuk pandemik COVID-19.
 

Honda


Kilang kedua Honda Malaysia yang terletak di Pegoh, Melaka itu dibuka secara rasmi pada tahun 2014, dan ia menyumbang kepada peningkatan kapasiti produksi kepada 100,000 unit per tahun, membolehkan Honda Malaysia memasang sehingga tujuh buah model untuk pasaran tempatan termasuklah City, City Hatchback, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V.

Untuk memastikan tahap kualiti yang tinggi untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia telah melabur untuk teknologi pemasangan yang lebih canggih, termasuklah pengenalan teknologi Laser Brazing pada bahagian luar, Kimpalan Rangka Dalam yang mampu meningkatkan tahap ketegaran badan, serta Semburan Busa Polyurethane bagi mengurangkan gegaran dan bunyi bising.

Honda Malaysia juga akan berterusan mengaplikasikan teknologi e:HEV, VTEC Turbocharged, Honda SENSING dan juga Honda CONNECT ke dalam setiap barisan model yang dijual bagi memenuhi jangkaan pelanggan selain meningkatkan tahap mobiliti dan masa depan yang lebih baik.
 

Civic


Sementara itu, Pengarah, Naib Presiden Eksekutif dan Wakil Pegawai Eksekutif Honda Motor Co. Ltd, Seiji Kuraishi berkata, "Dengan sokongan kuat daripada pemegang kepentingan, Honda telah berjaya menghasilkan lebih 124 juta kenderaan di peringkat global.

"Sebagai sebuah syarikat mobiliti, kami akan berusaha untuk menangani cabaran khususnya di dalam bidang alam sekitar dan juga keselamatan, dengan sasaran ke arah masyarakat bebas karbon dan bebas pelanggaran menjelang 2050 di peringkat global.

"Matlamat ini mendorong kami dalam usaha untuk mengejar sifar impak terhadap alam sekitar, serta sifar pelanggaran dan dalam masa yang sama kami membantu masyarakat mengembangkan lagi potensi kendiri dalam kehidupan seharian.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kempen panggil semula ini merupakan salah satu daripada langkah keselamatan berjaga-jaga yang…
Berita Domestik
Senarai pusat pameran yang terpilih boleh dirujuk pada jadual di bawah, dan para pengunjung…
Berita Domestik
Bakal ditawarkan dalam varian petrol dan hibrid (e:HEV), Honda HR-V 2022 membawakan ukuran…