Honda Legend 2021 kini dengan ciri Honda SENSING Elite, pemanduan autonomi Tahap Tiga

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan generasi kelima sedan Honda Legend, dan versi facelift yang dilancarkan baru-baru ini membawakan pelbagai jenis teknologi terbaharu yang membolehkan sedan ini mencapai keupayaan swapandu Tahap Tiga (SAE Level 3).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Perubahan tersebut dipertunjukkan menerusi variasi sistem keselamatan yang digelar sebagai Honda SENSING Elite, di mana salah satu daripada teknologi tersebut adalah Traffic Jam Pilot.

Ciri Traffic Jam Pilot ini akan diaktifkan ketika pemanduan menggunakan ciri Adaptive in Lane Driving, membolehkan sistem mengawal pemanduan secara automatik di bawah keadaan tertentu tanpa memerlukan input stereng daripada pemandu itu sendiri, seperti contoh di dalam keadaan trafik sesak di lebuh raya.

 


Dengan fungsi Hands-off, sistem akan membantu operasi pemanduan seperti penukaran laluan atau pengekalan laluan tanpa pemandu meletakkan tangan di atas stereng, terutama ketika ciri Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi Low-Speed Follow dan Lane Keeping Assist System (LKAS) diaktifkan.

Sistem ini akan menentukan kedudukan kenderaan serta keadaan jalan dengan menggunakan data daripada peta berdefinisi tinggi tiga dimensi, serta sistem navigasi satelit global (GNSS), sementara keadaan sekeliling pula dipantau menerusi penderia luaran di sekeliling kereta (360 darjah).

 


Daripada pelbagai data yang diperoleh itu tadi, sistem ECU utama akan membuat pengiraan yang sewajarnya dan mengaplikasikannya pada kawalan pecutan, brek dan stereng bagi membantu mencapai pemanduan yang lebih lancar.

Menurut Honda, pembangunan sistem pemanduan ini menggunakan simulasi di mana lebih 10 juta kemungkinan situasi dunia sebenar telah digunakan, serta dibantu dengan beberapa ujian demonstrasi dan pemanduan di dalam dunia sebenar sejauh 1.3 juta km.

 


Namun apabila dalam keadaan tertentu di mana pemandu tidak memberikan respon kepada permintaan untuk mengambi alih kawalan pemanduan, sistem Emergency Stop Assist akan membantu nyahpecut, serta membuat penukaran laluan sebelum berhenti di bahu jalan.

Dalam proses tersebut, kereta secara automatik akan menyalakan lampu kecemasan dan memberikan amaran kepada pengguna lain dengan membunyikan hon.

 


Antara kelengkapan eksklusif yang dimuatkan pada Honda Legend ini adalah lampu indikasi yang menunjukkan sistem pemanduan autonomi berfungsi terdapat pada bampar hadapan, roda stereng, papan pemuka serta glovebox, dan ia akan bertukar kepada warna jingga bagi menunjukkan permintaan kepada pemandu untuk mengambil alih operasi pemanduan.

Dari segi kuasa, Honda Legend didatangkan dengan nadi V6 3.5 liter yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan serta sistem pacuan semua roda SH-AWD.

 


Hanya 100 unit sahaja yang akan ditawarkan, dan tidak semua pihak boleh membeli sedan Honda Legend ini, memandangkan Honda hanya mengkhususkan penjualannya menerusi sistem pajakan sahaja menerusi pengedar Honda yang terpilih.

Harga bermula dari 11 juta yen, atau RM414,628 mengikut kadar pertukaran matawang semasa.

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini disusuli dengan penutupan lokasi kilang pemasangan bagi model-model tersebut di Sayama…
Berita Global
Menurut laporan daripada Reuters, Honda dalam satu siaran media merancang untuk melancarkan Honda…