Di Eropah, pembeli (terutama golongan penuntut kolej) kini boleh mendapatkan skuter elektrik Honda EM1 e: dengan keupayaan yang menyamai skuter 50 cc konvensional, dan jarak gerak yang sangat pendek.

Motor elektrik yang duduk di dalam roda itu berupaya menjana kuasa setinggi 2.3 hp (atau 1.2 hp dalam mod Econ), daya kilas 90 Nm, serta kelajuan tertinggi dihadkan kepada 45 km/j sahaja.
Bateri 50 voltan seberat 10 kg itu membenarkan jarak gerak sejauh 41 km sahaja, di mana Honda menyasarkan skuter elektrik ini untuk kegunaan para pelajar di sekitar kampus.

Aspek pengecasan juga amat mudah, anda tak perlu pening kepala mencari fasiliti pengecasan, sebaliknya hanya perlu mencabut bateri tersebut dan mengecasnya di dalam bilik.
Tempoh pengecasan 25-75 peratus SoC mengambil masa kira-kira 160 minit dengan menggunakan pengecas domestik 270 W, sementara pengecasan penuh dari sifar memakan masa enam jam.

Harga jualan EM1 e: masih lagi belum didedahkan secara rasmi.
Menjelang tahun 2025, Honda merancang untuk memperkenalkan sehingga 10 buah model motosikal dan skuter elektrik untuk pasaran global.