Turut berada di dalam pakej ialah bateri lithium-ion dan transmisi gear kekal melalui unit kawalan kuasa pintar yang beroperasi secara harmoni bagi menghasilkan respon langsung dan lancar.
Output kuasa 109 PS boleh memacu Jazz e:HEV dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9.4 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j. Prestasi itu sederhana namun memadai untuk sebuah kereta bandar seperti Jazz.
Motor elektrik berkelajuan tinggi dibangunkan secara dalaman oleh Honda supaya ringan, padat dan cekap.
Motor penggerak elektrik (electric propulsion motor) pula berputar hingga 13,300 rpm bagi menghasilkan tork setinggi 253 Nm yang membantu semasa pecutan kelajuan rendah.
Apa yang penting ialah penggunaan minyak, kadar untuk Jazz e:HEV standard ialah 4.5l/100 km (WLTP) manakala Jazz Crosstar pula 4.8l/100km (WLTP).
Satu lagi perkara menarik mengenai Jazz e:HEV ialah ia mempunyai tiga jenis mod pemanduan yang bertukar di antara berikut:
- EV Drive: Bateri lithium-ion membekalkan kuasa kepada motor penggerak elektrik (electric propulsion motor) secara terus
- Hybrid Drive: Enjin membekalkan kuasa kepada motor penjana elektrik (electric generator motor) yang kemudian membekalkan pula kepada motor penggerak elektrik
- Engine Drive: Enjin petrol disambungkan terus ke roda melalui klac terkunci (lock-up clutch)
Di dalam kebanyakan situasi memandu di bandar, kecekapan optimum dicapai melalui peralihan mod yang lancar di antara EV Drive dan Hybrid Drive.
Untuk kelajuan lebih tinggi seperti di lebuh raya, mod Drive Engine digunakan yang mempunyai bonus tambahan kuasa dari motor penggerak elektrik supaya dapat memecut lebih pantas.
Di dalam Hybrid Drive, kuasa berlebihan dari enjin petrol boleh dipindahkan untuk mengecas semula bateri melalui motor penjana.
Dalam proses pertukaran tersebut adakah kereta akan tersengguk-sengguk? Menurut Honda, proses itu tidak menggangu atau penumpang tidak perasan tentangnya.
Para jurutera Honda telah memberikan perhatian tinggi bagi mengurangkan lengahan (lag) semasa peralihan mod tersebut.
Walaupun hadir dengan reka bentuk ringkas berbanding Jazz generasi ketiga, Jazz e:HEV berselindung di sebalik teknologi canggih dan maju.
Akhir sekali, adakah Jazz e:HEV bakal dijual di negara kita sama seperti Jazz Hybrid generasi kedua dan ketiga? Belum ada khabar dan sama-sama kita nantikan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin