Kereta biasa menjalankan kerjanya sebagai sebuah objek empat roda bagi membawa manusia daripada titik A ke titik B dengan mudah.
Namun, bagi kereta yang bukan biasa-biasa, ia akan dihargai bagai menatang minyak yang penuh oleh pemiliknya, seperti membina sebuah garaj khas lengkap dengan sistem pencahayaan dan kawalan suhu.
Tapi bagi pemilik Acura (Honda) Integra DC2 Type R tahun 2001 ini, lain pula caranya - menyembunyikan jentera tersebut di dalam bilik rahsia bangsalnya dan kini sedia untuk dijual bagi mereka yang berminat.
Integra DC2 Type R ini masih mengekalkan spesifikasi asal ketika keluar dari kilang termasuklah warna asal Champion White, dan ciri pendingin hawa yang menjadi opsyen kepada para pembeli pada ketika itu.
Menurut pemilik, Honda hanya menawarkan 250 unit sahaja Integra DC2 Type R di Kanada, menjadikannya ia lebih menarik perhatian disebabkan status 'rare', apatah lagi untuk melihat kondisi kereta yang kekal terpelihara.
Malah, beliau sengaja mengekalkan keadaan sedikit calar dan hentakan pada keretanya bagi membuktikan Integra DC2 ini digunakan dengan sebaiknya di jalan raya, dan bukanlah sebuah kereta berstatus muzium.
Dengan jarak perbatuan 132,000 km, harga yang ditawarkan pada laman web eBay juga cukup menarik, iaitu $30,000 (sekitar RM122,812 tidak termasuk kos penghantaran) untuk sebuah kereta Type R coupe tahun 2001.
Sumber: eBay