Honda HR-V 2021 dilancarkan di Jepun - pilihan enjin 1.5L NA atau e:HEV

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Honda HR-V yang telah pun diperlihatkan secara rasmi beberapa bulan yang lalu kini rasmi mendarat di pasaran Jepun dengan menggunakan nama Honda Vezel.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk penduduk di sana, Honda menawarkan dua pilihan enjin iaitu enjin aspirasi natural 1.5 liter i-VTEC yang menghasilkan 118 PS dan 142 Nm dengan pilihan transmisi CVT, sementara model hibrid e:HEV pula didatangkan dengan unit yang lebih berkuasa berbanding Jazz dan City.

Ini kerana trenkuasa e:HEV itu mampu menghasilkan 131 PS dan 253 Nm, di mana motor elektrik berkembar menerima sumber kuasa daripada enjin 1.5 liter kitaran Atkinson.

 


Tipikal kereta-kereta Jepun, Honda Vezel turut ditawarkan dengan opsyen pemanduan semua roda.

Rekaan luaran Honda Vezel ini menampilkan rekaan yang lebih segar dengan perkadaran seakan sebuah coupe yang sama seperti model terdahulu.

Aspek aerodinamik crossover ini dioptimasikan dengan tirai udara pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler belakang baharu serta unit lampu belakang yang dibentuk semula, selain turut mendapat input daripada penggunaan terowong angin di fasiliti Honda Racing Development di Sakura, Jepun.

 


Selain daripada itu, Honda turut meningkatkan aspek pengendalian Vezel dengan mengurangkan kadar geseran suspensi, meningkatkan kadar ketegaran kolum stereng, dan binaan casis yang ringan dan tegar dalam masa yang sama.

Kadar kebisingan, dan gegaran enjin juga turut dikurangkan dengan menggunakan struktur cagak enjin yang serba baharu.

 


Memasuki ruang kabin, rekaan papan pemuka Honda Vezel ini tampil minimalis dengan unit infotainmen yang diapit dengan saluran pendingin hawa melintangi penuh bahagian tersebut.

Menjadikan ruang kabin tampak lebih luas adalah kehadiran bumbung kaca panoramik yang lebih besar dan ciri kaca Low-E yang mampu mengurangkan sinar cahaya infrared dan ultraungu menembusi ruang penumpang.

Keselesaan penumpang belakang dipertingkatkan dengan sudut sandaran yang bertambah sebanyak 2 darjah, serta ciri lampu bacaan yang boleh diaktifkan menerusi sentuhan sahaja.

 


Ruang kargo boleh dimaksimakan dengan ciri Magic Seat pada tempat duduk baris kedua bagi membolehkan pelbagai jenis susunan barang dimuatkan pada bahagian belakang.

Honda Vezel untuk pasaran Jepun turut mendapat ciri sambungan Honda Connect yang menggunakan konsep Human Machine Interface (HMI) merangkumi skrin infotainmen bersaiz sembilan inci, titik panas Wi-Fi, pusat aplikasi, kemaskini peta automatik, kunci digital peranti pintar serta komunikasi kenderaan-ke-infrastruktur (V2I).

 


Harga jualan Honda Vezel bermula dari 2,279,200 yen (RM86,600) sementara model asas hibrid e:HEV pula bermula dari 2,658,700 (RM101,000).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Di pasaran lain, varian sporti HR-V dinamakan HR-V RS dan dari spesifikasi yang didedahkan…
Berita Global
Jika model Honda S2000 20th Anniversary dan Honda Civic Cyber Night Japan Cruiser dibawakan oleh…