Honda Hawk 11 - jentera cafe racer dengan nadi Africa Twin

oleh Mohamad Hanif|
Honda baru-baru ini memperlihatkan gambar rasmi model motosikal baharu Honda Hawk 11, sebuah jentera Neo-Sports Cafe dengan pendekatan yang lebih moden.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut informasi, Hawk 11 ini dikuasakan oleh nadi 1,082 cc yang diperoleh daripada model Africa Twin (dan NT1100), dengan kuasa setinggi 100 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 104.3 Nm @ 6,250 rpm.

Namun tidak seperti Africa Twin dan NT1100 yang ditawarkan dengan transmisi DCT semi-automatik, Honda Hawk 11 ini hanya ditawarkan eksklusif dengan kotak gear konvensional enam kelajuan.
 

Hawk 11


Selain itu, Honda Hawk 11 turut menggunakan kerangka semi-double-cradle keluli yang sama seperti model Africa Twin dan NT1100, namun dengan rekaan yang lebih ringan.

Lengan ayun dan rim bersaiz 17 inci pula datangnya daripada model NT1100, sementara suspensi depan fork Showa SFF-BP pula merupakan unit yang berbeza daripada model NT1100.

Sistem brek terdiri daripada angkup Nissin empat omboh dengan rotor bersaiz 310 mm.
 

Hawk 11


Honda turut menekankan aspek ergonomik dengan mendakwa Hawk 11 ini sesuai untuk penunggang dengan ketinggian bermula 1.55 meter tanpa perlu menyesuaikan ketinggian pelana.

Rekaan Hawk 11 sememangnya merupakan satu evolusi yang lebih moden berbanding jentera Neo-Sports Cafe terdahulu, dengan rekaan reraup depan seakan peluru dan cermin sisi yang lebih rendah posisinya.
 

Hawk 11


Antara teknologi moden yang dimuatkan termasuklah sistem pendikit ride-by-wire, pilihan pemetaan enjin dan mod tunggangan, kawalan brek enjin boleh laras, dan pelarasan respons pendikit.

Segala informasi penting berkenaan tunggangan boleh dibaca menerusi skrin LCD yang ringkas tanpa kehadiran skrin TFT berwarna yang kian menjadi kelaziman masa kini.
 

Hawk 11


Dalam masa yang sama, Honda turut memperlihatkan elemen modifikasi yang boleh dilakukan pada model Hawk 11, seperti kemasan warna perak/hitam, sistem ekzos Moriwaki, serta set tempat letak kaki belakang yang berbeza berbanding model standard.

Pada ketika ini, Honda Hawk 11 mungkin dikhususkan untuk pasaran Jepun terlebih dahulu.