Honda e:N1 kini rasmi di Malaysia – dari RM149,900

oleh Qalif Latif|
Honda Malaysia hari ini mencatat sejarah baharu apabila secara rasmi melancarkan Honda e:N1, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama mereka untuk pasaran tempatan. Model ini ditawarkan pada harga istimewa RM149,900 (atas jalan tanpa insurans) untuk jumlah unit terhad, menandakan kemasukan rasmi Honda ke era elektrifikasi sepenuhnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, menyatakan bahawa pelancaran ini adalah lanjutan daripada komitmen jangka panjang Honda dalam memperkenalkan teknologi canggih sejak 2004 melalui IMA, VTEC Turbo, i-DCD dan e:HEV. Kini dengan e:N1, Honda bukan sahaja memperluas rangkaian xEV mereka, tetapi juga menawarkan satu pengalaman pemanduan ‘Fun-To-Drive’ dalam bentuk elektrik sepenuhnya.

e:n1

Honda e:N1 dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 150kW (bersamaan 201hp) dan tork setinggi 310Nm. Gabungan ini bukan sahaja menawarkan pecutan yang lancar dan responsif, malah memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dalam segenap situasi. Dari segi kecekapan, e:N1 mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 500 kilometer mengikut kitaran NEDC, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh

e:n1

Model ini menyokong pengecasan AC sehingga 10kW (10%-80% dalam kira-kira enam jam) dan DC pengecasan pantas sehingga 78kW yang mampu mengisi 30%-80% dalam masa sekitar 50 minit.

e:n1

Bahagian dalam pula dilengkapi dengan pencahayaan ambien biru, pengecas tanpa wayar, paparan pemanduan TFT 10.25 inci, dan skrin sentuh canggih bersaiz 15.1 inci dengan panel tiga bahagian atas untuk Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto berwayar, tengah untuk status kenderaan dan kawalan audio, serta bawah untuk sistem pendingin hawa.

e:n1

Reka bentuk luaran menampilkan rupa moden dan bersih dengan gril depan kemas, lampu LED penuh serta rim aloi dua tona 18 inci eksklusif. Emblem “H” putih baharu turut digunakan sebagai simbol peralihan Honda ke arah elektrifikasi.
 

e:n1

Model ini juga mengekalkan identiti Honda dari segi praktikaliti dengan konfigurasi tempat duduk belakang boleh lipat 60:40 dan ruang kargo seluas 344 liter.

Selain sistem Honda SENSING, e:N1 turut dilengkapi dengan Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM) ciri keselamatan unik untuk model ini.

e:n1

Tiga pilihan warna ditawarkan: Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.

Honda memperkenalkan kaedah pembelian digital untuk e:N1 melalui portal pra-tempahan rasmi dan aplikasi HondaTouch, di mana pelanggan boleh memilih daripada lapan pengedar BEV Honda yang sah. Proses pembelian turut dibantu oleh duta jenama terlatih, menjadikannya lebih eksklusif dan peribadi.

Model ini disertakan dengan jaminan lapan tahun atau 160,000km untuk bateri dan sistem pacuan elektrik. Honda turut memperkenalkan pakej Honda Insurance Plus (HiP EV) dengan manfaat tambahan untuk pemilik EV termasuk perlindungan untuk pengecas rumah dan kabel mudah alih.

Dengan jualan hampir 24,000 unit dalam tempoh Januari hingga April 2025, Honda Malaysia yakin e:N1 bakal mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam pasaran EV tempatan.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan:
https://prebook.honda.com.my
Muat turun aplikasi HondaTouch
Talian bebas tol Honda: 1-800-88-2020

e:n1

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Koleksi baharu ini dilihat lebih menarik perhatian peminat kereta Honda, berbanding siri terdahulu…
Berita Global
Selepas membatalkan beberapa projek kenderaan elektrik (EV) termasuk model 0 SUV, 0 Sedan serta…
Berita Global
Menurut laporan yang disiarkan oleh Reuters, pengeluar automotif kedua terbesar Jepun itu…