Honda dedah rekaan kabin CR-V 2023 - susun atur hampir sama dengan Civic FE

oleh Mohamad Hanif|
Generasi baharu Honda CR-V bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan Honda mengambil kesempatan untuk mendedahkan sebuah lagi gambar acah - kali ini menampilkan susun atur ruang kabin SUV segmen C itu.

Usah risau, kami tidak berniat untuk menipu anda dengan menggunakan gambar kabin Honda Civic FE, ini kerana jika dibandingkan sebelah menyebelah, susun atur papan pemuka CR-V sebenarnya hampir sama dengan rekaan yang ada pada sedan Civic itu.

Tidak seperti Honda CR-V terdahulu, Honda kini menggunakan pendekatan yang lebih minimalis dan matang, menampilkan skrin kluster instrumen, skrin infotainmen yang duduk tegak di atas corong pendingin hawa yang disembunyikan dengan baik di sebalik jeriji rekaan sarang lebah itu.

Turut dibuang adalah elemen trim kayu yang sebelum ini yang wujud pada CR-V terdahulu.

 

papan pemuka CR-V terdahulu


Membezakan antara Civic dan CR-V adalah rekaan konsol tengah, di mana ia tidak menampilkan ruang meletak cawan seperti yang ada pada sedan Civic, berkemungkinan besar telah dialihkan di sebalik tempat rehat lengan.

Selain daripada itu, boleh dilihat rekaan tempat pembuka pintu yang lebih ringkas, serta panel pintu yang direka semula.

Berdasarkan tiga imej acah terawal yang dibekalkan oleh Honda, tidak banyak perbezaan yang ketara ditampilkan pada bahagian luar, kecuali rekaan lampu belakang yang lebih mewah seakan SUV jenama Volvo.

 

papan pemuka Honda Civic FE


Setakat ini, Honda tidak mendedahkan spesifikasi trenkuasa, akan tetapi mereka ada merancang untuk memperkenalkan CR-V versi hibrid sama seperti yang ditawarkan pada model Civic FE.

Difahamkan, Honda akan melancarkan secara rasmi CR-V generasi baharu pada musim panas ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, wanita berasal dari Selangor itu mengaku memandu melawan arus dengan alasan tidak…
Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 11.28 pagi apabila sebuah kenderaan jenis Honda CRV…
Berita Domestik
CR-V merupakan model paling lama dalam barisan produk Honda Malaysia dan sinonim dengan inovasi,…