Honda CRF1100L Africa Twin 2020 - lebih berkuasa, lebih ringan!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah menunjukkan beberapa gambar teaser menerusi paparan video, akhirnya Honda rasmi melancarkan motosikal kembara CRF1100L Africa Twin 2020 yang lebih berkuasa berbanding model terdahulu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Honda tidak sekadar membawakan enjin bersesaran yang lebih besar dan lebih berkuasa semata-mata, malah beberapa aspek teknikal dan mekanikal juga turut ditambah baik seperti pelepasan emisi, penggunaan bahan yang lebih baik dan juga berat yang lebih ringan!

Nadi parallel-twin bersesaran 1,084cc itu kini mampu menjana 101 kuasa kuda (tambahan tujuh hp berbanding model terdahulu) dan daya kilas 104.4 Nm yang disalurkan kepada dua pilihan kotak gear, iaitu manual enam nisbah kelajuan atau DCT, juga enam nisbah kelajuan. 
 


Penggunaan nadi baharu serta transmisi yang lebih ringan ini turut memberikan pengurangan berat kepada angka 225.89 kg untuk model asas manakala model DCT pula sedikit berat, 235.87 kg.

Secara standard, Honda CRF1100L Africa Twin memiliki ketinggian tempat duduk 850 mm yang boleh direndahkan kepada 825 mm atau ditinggikan kepada 895 mm mengikut pilihan pengguna. 

Untuk menambah kuasa di samping mengurangkan pelepasan emisi, honda turut menampilkan unit peredam yang dilengkapi dengan ciri Exhaust Control Valve (ECV). 
 


Terdapat enam mod tunggangan ditawarkan termasuklah tour, urban, gravel, off-road serta dua mod yang boleh dikustom mengikut keperluan peribadi. 

Membantu pengendalian di laluan yang mencabar adalah sistem suspensi yang masih kekal dengan fork terbalik hadapan Showa 45 mm yang memiliki jarak suspensi 231 mm dan penyerap hentak Showa dengan Pro-Link swingarm (jarak suspensi 221 mm). 

Tetapan di atas memberikan Honda CRF1100L Africa Twin jarak kelegaan tanah sepanjang 250 mm. 
 


Saiz tayar dan rim juga masih kekal dengan dimensi asal, iaitu rim 21 inci hadapan dan 18 inci di belakang yang dibaluti tayar Bridgestone Battlax Adventurecross Tourer bersaiz 90/90-21M/C 54H hadapan dan 150/70R18M/C 70H belakang.

Sistem pemberhentian motosikal kembara ini terdiri daripada angkup empat piston yang dipadankan dengan cakera 310 mm hadapan, serta angkup piston tunggal dengan cakera 256 mm belakang dan dibantu dengan ciri cornering ABS.

Dari segi luaran, lampu hadapan telah diberikan nafas baharu manakala bahagian paip ekzos telah dilindungi dengan skidplate baharu yang lebih besar. 
 


Ciri standard yang dibawakan pada motosikal ini termasuklah kawalan pelayaran, skrin TFT bersaiz 6.5 inci, ciri sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, slot pengecasan USB, kawalan wheelie dan sambungan kepada Bluetooth. 

Harga jualan Honda CRF1100L Africa Twin di Eropah bermula dari $14,399 (RM60,265) manakala versi Africa Twin Adventure Sports ES berharga $17,199 (RM71,984). 

Untuk mereka yang mahukan transmisi DCT boleh menambah duit sebanyak $800 (RM3,348) kepada senarai harga di atas. 
 


Untuk pasaran Eropah, Honda CRF1100L Africa Twin boleh didapati bermula Mac 2020.