Jadi, berdasarkan kondisi yang masih lagi cemerlang macam baru keluar kilang, adalah tidak mengejutkan apabila jarak perbatuan yang dicatatkan pada odometer hanyalah sekitar 17 km sahaja!

Honda CR-X tahun 1990 ini menghabiskan kitaran hayatnya di Portugal, di mana menurut Garagisti, CR-X 1.6i-16 (atau varian SiR di Eropah) hanya dipandu sekali sahaja dari pusat pengedar Honda di Lisbon ke garaj peribadi.
Sejak daripada itu, ia tidak bergerak langsung, malah keempat-empat tayar langsung tidak menjejak tanah disebabkan kereta ini duduk di atas jackstand.

Malah, kondisinya luarannya masih lagi cemerlang disebabkan Honda CR-X ini langsung tidak menerima sinaran mentari sepanjang 30 tahun 'menetap' di dalam garaj itu.
Barangan yang disertakan sewaktu keluar dari pusat pengedar juga masih lagi utuh, seperti pelindung karpet kertas, penanda kilang, tayar yang masih lagi unit asal kilang, malah minyak enjin juga dikatakan tidak pernah ditukar sejak lebih 30 tahun yang lalu!

Apa yang ditukarkan hanyalah bendalir brek dan juga unit bateri.
Anda berminat? Unit Honda CR-X 1990 dengan jarak perbatuan 17 km ini sebenarnya sedang mencari pemilik baharu, namun dengan harga yang tidak didedahkan kepada umum.
Sumber: Garagisti