Honda CR-V 2020 facelift dilancarkan di Thailand - bermula dari RM186 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan acara Bangkok International Motor Show pada minggu ini, Honda secara rasmi melancarkan model CR-V versi facelift setelah pelancaran di Amerika Syarikat pada tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Versi facelift ini tidak banyak membawakan perubahan yang ketara, kecuali pada bahagian bumper hadapan yang telah direka semula, bar gril yang telah dihitamkan, serta ciri moden lampu isyarat membelok jenis sekuential.

 


Di bahagian sisi pula menampilkan set roda aloi bersaiz 18 inci dengan rekaan baharu, manakala di bahagian belakang pula terdapat set lampu dengan efek asap, dan  kemasan tailgate berwarna krom gelap.

Antara perubahan lain termasuklah bumbung suria panoramik dengan ciri satu sentuhan, slot pengecasan nirwayar Qi serta fungsi tempat duduk pemandu dengan ciri ingatan.

 


Dari segi penawaran enjin, Honda CR-V di Thailand didatangkan dengan pilihan enjin 2.4 liter i-VTEC yang menghasilkan 173 PS dan 224 Nm dengan transmisi CVT, manakala varian tertinggi pula dihadkan kepada enjin diesel 1.6 liter i-DTEC yang berupa menjana 160 PS dan 350 Nm.

Versi paling premium itu tadi dilengkapi dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ciri pemilihan posisi gear menggunakan butang fungsi.

 


Secara asas, kesemua varian didatangkan dengan kelengkapan seperti lampu LED, lampu kabus LED, rim bersaiz 17 inci, sistem kemasukan tanpa kunci, ciri kawalan iklim dua zon, ciri kunci automatik walk-away, sistem infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Sementara tiga model teratas pula menerima ciri pelarasan lampu automatik, lampu kabus dengan rekaan unik, rim 18 inci, dan juga sistem navigasi.

Tambahan kepada varian paling premium DT-EL (versi diesel) itu tadi adalah ciri Honda Connect - akses kepada fungsi kenderaan menerusi aplikasi peranti pintar - serta ciri keselamatan Honda SENSING yang merangkumi kelengkapan seperti brek kecemasan autonomi, kawalan pelayaran adaptif, bantuan kekal laluan, bantuan suluhan tinggi automatik.

 


Namun secara standard, kesemua varian didatangkan dengan enam unit beg udara, kawalan kestabilan kenderaan, dan ciri pemantauan titik buta Honda LaneWatch.

Harga jualan di Thailand pula bermula dari THB1,369,000 (RM186,000) sehinggalah THB1,759,000 (RM239,000) untuk varian DT-EL.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Semenjak tempahan dibuka pada Oktober yang lalu, Honda Malaysia telah berjaya memperoleh kira-kira…