Itu yang boleh penulis simpulkan berdasarkan temubual laman Autocar bersama penasihat teknikal Honda Motor Europe, Ko Yamamoto baru-baru ini.
Menurut Yamamoto, platform yang digunakan oleh Civic Type R FL5 ini mampu untuk menampung dan menyokong langkah elektrifikasi trenkuasa untuk menjadikan penawaran Civic Type R yang lebih berkuasa.

"Saya tidak akan mengecualikan idea elektrifikasi. Dengan platform ini kami tidak boleh meletakkan trenkuasa elektrik tulen, namun saya boleh bayangkan ia mampu untuk menerima trenkuasa plug-in hybrid sehingga beberapa tahap tertentu.
"Elektrifikasi hanyalah sekadar satu pendekatan teknikal yang berbeza, sama seperti VTEC, turbo atau suspensi multi-link," jelasnya lagi.
"Terdapat beberapa ciri yang sangat penting untuk sebuah Type R: respons yang unggul, kesatuan antara pemandu dan jentera. Bagaimana semua ini boleh dicapai? Itu cerita lain, dan saya amat yakin ia juga mampu dicapai menerusi langkah elektrifikasi tertentu.
Ini bermakna, hot hatch Civic Type R ini sudah hampir pasti tidak akan ditawarkan dalam versi EV, akan tetapi tidak mustahil Honda akan menawarkan sesuatu yang lebih berkuasa menerusi penawaran trenkuasa hibrid pada model ini kelak.

Ketika ditanya sama ada terdapat agenda untuk melengkapkan hot hatch itu dengan sistem pacuan semua roda, Yamamoto menjelaskan langkah tersebut tidak termasuk di dalam agenda pembangunan Civic Type R.
Walaupun secara teknikalnya, ia tidak mustahil memandangkan Civic Type R sebenarnya berkongsi platform dengan Honda CR-V, namun jelasnya "saya fikir pemanduan empat roda tidak selari dengan prinsip Type R. Ia tidak semestinya lebih cepat, tapi (sudah pasti) ia lebih berat.
Masih banyak lagi perkara yang Honda sembunyikan daripada pandangan umum berkenaan Civic Type R FL5 ini, di mana segala butiran bakal diketahui dengan lebih jelas dan terperinci menjelang fasa jualan model tersebut di Amerika Syarikat pada musim luruh ini.
Sumber: Autocar