Model Civic Type R yang keenam ini dibangunkan berdasarkan Civic Hatchback generasi kesebelas, namun masih lagi mengikuti pendekatan yang dijalankan pada model-model Type R yang terdahulu.
Peningkatan terhadap casis tidak didedahkan secara terperinci, namun Honda mendakwa badan Civic Type R baharu ini adalah ringan dengan tahap ketegaran yang tinggi, selain mampu meningkatkan pengalaman pemanduan terima kasih kepada sistem suspensi dan stereng yang ditambahbaik.
Dari segi kuasa, Civic Type R 2023 masih lagi mengekalkan penggunaan nadi K20C 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan.
Namun, Honda masih belum mendedahkan peningkatan kuasa yang bakal dihamburkan oleh Civic Type R, dan secara perbandingan, model Civic Type R FK8 terdahulu menghasilkan kuasa 316 hp dan 400 Nm.
Prestasi pecutan dan kelajuan tertinggi masih lagi dirahsiakan, namun Civic Type R 2023 kini telah berjaya memecahkan rekod baharu untuk kategori kereta produksi pacuan roda depan di Litar Suzuka, Jepun baru-baru ini - mengalahkan rekod FK8.
Rekaan luaran Civic Type R mengikut rapat evolusi rekaan pada model Civic standard, dengan pendekatan yang lebih ringkas, minimalis dan tidak keterlaluan untuk penulis gelarkannya sebagai hot hatch yang matang.
Ini kerana jurutera Honda telah pun membuang liang-liang udara palsu dan menjadikan keseluruhan rekaan Civic Type R lebih bersih, sebelum ditambah dengan spoiler dan tidak ketinggalan sistem ekzos dengan tiga tip di bahagian tengah.
Seperkara lagi, Civic Type R baharu ini menggunapakai rim bersaiz 19 inci namun dengan profil tayar Michelin Pilot Sport 4S 265/30 ZR19 berbanding rim 20 inci dengan balutan tayar 245/30 ZR20 pada model terdahulu.
Sistem brek pula menggunakan unit angkup monobloc empat omboh daripada Brembo.
Imej matang Civic diteruskan di bahagian dalam di mana susun atur papan pemuka yang sama digunakan pada Civic Type R baharu.
Secara standard, Honda Civic Type R 2023 didatangkan dengan skrin infotainmen 10.2 inci, roda stereng balutan kulit yang ringkas, serta skrin kluster instrumen yang mampu memaparkan dua paparan berbeza (normal atau R+).
Akhir sekali, plak bernombor Type R yang dialihkan daripada bahagian belakang tombol gear dan kini duduk diam di bahagian jeriji sarang lebah di atas glovebox.
Honda Civic Type R 2023 boleh dilayangkan dengan pilihan warna Rallye Red, Racing Blue Pearl, Crystal Black Pearl, Sonic Grey Pearl dan tidak ketinggalan warna Championship White.