Honda Civic Prototype 2022 - sedan segmen C dengan penampilan lebih elegan

oleh Mohamad Hanif|
Siapa sangka, sebuah kereta yang ikonik kepada jenama Honda sudah pun hampir mencecah usia 50 tahun, dan sehingga kini sudah 10 generasi telah pun diproduksikan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Generasi kesebelas telah pun diperlihatkan secara rasmi dalam bentuk prototaip oleh Honda menerusi acara dalam talian yang dijalankan sebentar tadi.

Difahamkan, Honda Civic generasi kesebelas ini menggunakan platform yang sama seperti Civic generasi terdahulu, namun dengan penggayaan luar dan dalam serba baharu, teknologi yang lebih canggih dan lebih ciri keselamatan.

 


Seperti yang diperlihatkan, Honda Civic Prototype 2022 ini membawakan reka bentuk luaran serba baharu, dimulakan dengan unit lampu baharu dengan grafik lampu nyalaan siang LED baharu, diikuti dengan penggayaan yang sama pada bahagian belakang.

Tiada lagi imej lampu sepit ketam, di mana ia kini digantikan dengan lampu yang ringkas, manakala rekaan bampar juga lebih kemas dan diakhiri dengan tip ekzos berkembar.

Jika Civic FC yang lebih menjurus ke arah sebuah sedan sporti, rekaan sedan Civic baharu ini dilihat tampak lebih elegan dan mengingatkan kita kepada Honda Accord yang sepatutnya Honda tawarkan pada masa kini.

 


Rekaan rim pula adalah bersaiz 19 inci yang dikemaskan dengan warna hitam gelap.

Honda Civic 2022 akan hadir dalam dua bentuk stail badan, iaitu sedan dan hatchback manakala versi coupe dua pintu pula tidak akan diproduksikan lagi.

Usah risau kerana bagi peminat jiwa kelajuan, Honda akan terus menawarkan Civic Type R yang lengkap dengan transmisi manual!

 


Sementara perubahan di bahagian dalaman pula lebih drastik, di mana ia kini menampilkan rekaan papan pemuka yang lebih ringkas tanpa kehadiran butang fungsi yang merimaskan.

Menurut Honda, rekaan yang diinspirasikan daripada model Honda e ini bertujuan untuk mengekalkan fokus Civic dalam menawarkan ruang yang serba ergonomik dan medan penglihatan yang lebih baik.

Skrin infotainmen pula terletak kemas di atas papan pemuka di mana ia bertambah dimensi kepada 9.0 inci berbanding skrin 7.0 inci pada model asal.

Penggunaan skrin digital turut diteruskan di bahagian hadapan pemandu, di mana Civic kini merupakan produk Honda pertama yang menawarkan skrin paparan digital sepenuhnya.

 

 

Jika dilihat kepada penawaran Civic terdahulu, ia merupakan antara pilihan sedan yang lengkap dengan ciri keselamatan yang menyeluruh, dan hal ini akan diteruskan penawarannya pada model generasi baharu.

Selain daripada ciri Honda Sensing standard untuk semua varian, Honda turut menyatakan Civic baharu akan menampilkan pelbagai ciri keselamatan aktif dan pasif di mana perinciannya hanya akan didedahkan dalam masa terdekat.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, video tersebut memaparkan sebuah kereta jenis Honda Civic merempuh sebuah motosikal…
Berita Domestik
Beliau berkata, video itu memaparkan seorang anggota polis trafik cuba memberhentikan kereta jenis…
Berita Domestik
  Kejadian yang berlaku pada hari Ahad (semalam), pada pukul 7.25 pagi turut disahkan oleh Ibu…