Dari tahun ke tahun, Honda menghasilkan model Civic dengan karakter yang cukup sporty untuk menarik minat pembeli golongan muda, pertengahan dan bagi mereka yang mahukan semangat adrenalin.
Oleh itu, kini terhasilnya sebuah Civic yang cukup mengambarkan kereta yang bukan sahaja sporty, tapi lebih elegan dengan karakter seperti sebuah kereta ‘continental’ Eropah.
Honda Civic FE yang dilancarkan dua tahun lalu pada 2022 telah memberi pelbagai reaksi kepada peminat kereta terutamanya bagi peminat jenama Honda sendiri.
Tambahan pula, satu varian baharu diperkenalkan iaitu varian 2.0 e:HEV RS, varian tertinggi bagi model Civic FE yang diberi trenkuasa hibrid penuh gabungan petrol dan motor elektrik.
Trenkuasa hibrid Honda bukannya sesuatu yang baharu di Malaysia, beberapa tahun lalu, terdapat beberapa model yang menggunakan trenkuasa hibrid seperti Honda Insight yang lebih kepada kereta keluarga, dan CR-Z yang lebih sporty dengan dua pintu.
Kali ini, penulis lakukan pandu uji sendiri pada model Civic FE ini dari beberapa aspek terutama sekali dari segi pengalaman pemanduan, dan penggunaan bahan api untuk menguji kuasa hibrid Honda sendiri.
Dari segi pengayaan reka bentuk, Civic FE merupakan model pertama Civic yang buat penulis berasa cukup tertarik dan mengidamkannya bagi sebuah kereta segmen-C Jepun terutamanya.
Ini bukan untuk 'membodek' Honda ya, bagi penulis, reka bentuk adalah perkara utama yang penulis utamakan selain pengalaman pemanduan dan lain-lain.
Kerana bagi penulis, reka bentuk ‘deliver’ suatu perasaan pada para bakal pembeli dan peminat.
Oleh itu, penulis memberi pujian pada pasukan reka bentuk Honda dalam menghasilkan Civic FE ini yang nampak lagi memberi persaingan pada model-model sedan saloon dari Eropah.
Selain dari reka bentuk yang menarik, satu lagi perkara yang mengujakan penulis sewaktu pandu uji Civic FE ini, iaitu penggunaan bahan api.
Penulis telah berjaya memandu Civic FE ini dari Balik Pulau, Pulau Pinang ke Gelang Patah, Johor hanya dalam satu tangki bahan api sahaja, ia kira-kira 700km perjalanan.
Dengan RM65 untuk satu tangki penuh, ia telah membuktikan bahawa trenkuasa hibrid e:HEV Honda lebih menjimatkan terutamanya dari kos pengisian semula petrol.
Tambah-tambah lagi, trenkuasa hibrid e:HEV Honda tidak perlu pengecasan pek bateri kerana ia hibrid penuh dan bukannya plug-in hibrid, sudah tentu tidak perlu membuang masa untuk mengecas kenderaan.
Mungkin ada yang mengatakan, adakah penulis memandu terlalu perlahan atau sebaliknya untuk mencapai penjimatan sebegitu.
Jawapannya tidak, penulis hanya menggunakan mod Normal dan ciri Adaptive Cruise Control dengan kelajuan pada 110km/j dan hanya memandu laju ketika memotong kenderaan lain atau di laluan lurus.
Perkara itu yang memberi perasaan teruja dan juga tanda tanya kenapa varian e:HEV ini sangat ‘underated’ berbanding varian lain.
Jika mengenai prestasi, Civic FE beri prestasi yang menarik, dengan respons pecutan yang tinggi serta positif dimana ia beri pemanduan yang cukup lancar.
Tambahan pula, dengan pemanduan yang sedikit ‘agresif’ juga ia masih seronok dipandu, bukan sekadar hanya kelajuannya, tapi kawalan pemanduan.
Oleh itu, penulis beri ‘markah tambahan’ untuk pengalaman pemanduan Civic FE ini, kerana selain dari responsif yang cekap, kawalan pemanduan pun sudah cukup menarik.
Dengan memandu dikawasan bengkang bengkok, kereta cukup dapat dikawal dengan baik, mungkin ia juga dipengaruhi oleh faktor jisim trenkuasa hibrid yang lebih berat untuk beri kenderaan lebih stabil.
Selain itu, pengalaman pemanduan yang seronok juga dipengaruhi dari ruang dalaman yang selesa dan minimal tanpa ciri-ciri yang ‘serabut’kan kabin dashboard kereta itu sendiri.
Jadi apa yang penulis harapkan adalah, trenkuasa hibrid e:HEV Honda dapat dikekalkan dan hadir dengan versi lebih baik yang dipertingkatkan untuk model-model Honda yang lain.
Tidak dinafikan, reka bentuk kenderaan Honda kini sudah lebih matang, lebih moden dan mempunyai hala tuju sendiri, jadi untuk menarik minat bagi mereka berjiwa muda itu bukan masalahnya yang besar.
Penulisan ringkas penulis hanyalah untuk pandu uji pengalaman memandu Civic FE ini selain berkongsi ‘rasa dan perasaan’ terhadap varian hibrid yang penulis berasa lebih berbaloi, dengan reka bentuk sporty, lebih matang dan yang paling penting, jimat minyak!
Untuk harga jualan Civic FE hibrid ini adalah bermula dari RM167,900, tetapi jika mahu sebuah sedan Honda yang lebih mampu milik, Honda City jawapannya, ia turut ditawarkan dengan varian hibrid yang dijual dari RM111,900.
Tambahan juga, pada bulan September ini, Honda Malaysia menawarkan promosi rebat menarik sempena Hari Malaysia bagi model Honda Civic FE bernilai sehingga RM12,000.
Berikut merupakan model Honda yang ditawarkan dengan trenkuasa hibrid di Malaysia beserta harga terkini;
- Honda Civic 2.0 e:HEV RS (dari RM167,900)
- Honda City 1.5 e:HEV RS (dari RM111,900)
- Honda City Hatchback 1.5 e:HEV RS (dari RM112,900)
- Honda CR-V 2.0 e:HEV RS (dari RM195,900)
- Honda HR-V 1.5 e:HEV RS (dari RM141,900)