Honda City V-Sensing merupakan varian kedua selepas Honda City RS e:HEV yang mendapat kelengkapan keselamatan termasuk kawalan jelajah adaptif, sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS), amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem bantuan pengekalan laluan (LKAS), mitigasi keluar jalan (RDM), amaran keluar lorong (LDW) serta bantuan suluhan tinggi automatik (AHB).
Ia melengkapi ciri keselamatan sedia ada yang merangkumi enam beg udara, Honda LaneWatch, ABS, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), EBD, BA, lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS), bantuan mula mendaki (HSA) serta cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

Honda City V-Sensing dikuasakan oleh nadi 1.5 liter DOHC i-VTEC yang mampu menghasilkan 121 PS dan daya kilas 145 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT dan mendapat kelengkapan seperti lampu utama LED depan belakang, lampu DRL dan kabus LED, serta set rim aloi bersaiz 16 inci.
Ruang kabin pula mendapat tempat duduk balutan kulit dengan kemasan ivory, corong pendingin hawa belakang, skrin infotainmen Display Audio bersaiz lapan inci, skrin multi-info TFT bersaiz tujuh inci, serta tidak ketinggalan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Harga jualan Honda City V-Sensing bermula dari RM90,212.36 atas jalan tanpa insurans.