Honda City 2020 - empat varian utama, nadi tiga silinder 1.0 liter turbo!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pelancaran rasmi Honda Jazz 2020 yang berlangsung di Tokyo Motor Show awal bulan yang lalu, kini tiba giliran kembar sedannya Honda City 2020 generasi ketujuh bertempat di Thailand Motor Expo, Bangkok.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kenapa Bangkok, Thailand? 

Ini kerana di sini merupakan lokasi di mana Honda City 2020 bakal ditempatkan dalam kelas yang lebih mesra alam - ECO-Car Phase II dengan pengenalan enjin tiga silinder VTEC 1.0 liter turbo. 

Honda Thailand melihat ini sebagai satu peluang melihatkan kepada kejayaan strategi yang sama digunakan oleh Mazda menerusi model Mazda2.
 


Sebagai makluman, untuk sesebuah kenderaan layak memasuki kelas ECO-Car Phase II ini, beberapa syarat harus dipatuhi seperti:

  • pelepasan CO2 tidak melebihi 100g/km
  • peraturan emisi standard Euro 5
  • penggunaan bahan api tidak lebih daripada 4.3 liter/100 km
  • ciri keselamatan standard seperti ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA)

Untuk itu, pihak Honda Thailand telah memutuskan penggunaan enjin tiga silinder sebaris VTEC 1.0 liter bersesaran 998cc untuk model Honda City 2020.

 


Dengan bantuan turbo daripada Borg Warner, enjin kecil ini mampu menjana 122 PS dan tork maksimum 173 Nm pada julat 2,000-4,500 rpm, manakala penggunaan CVT pula membolehkan City 2020 mencapai bacaan penggunaan bahan api 4.2 liter/100 km!

Dari segi luaran, Honda City membawakan rekaan yang seimbang untuk sebuah sedan segmen B diinspirasikan daripada Honda Insight, seperti lampu utama yang slim, lampu nyalaan siang LED, rekaan gril Solid Wing, serta lampu belakang ala-ala BMW 3-Series.

 


Honda City 2020 memiliki dimensi 4,553 mm x 1,748 mm x 1,467 mm di mana ia lebih panjang dan lebar, akan tetapi lebih rendah manakala jarak antara roda pula 11 mm lebih pendek berbanding generasi terdahulu. 

Namun aspek pengendalian masih membawakan ciri yang sama seperti suspensi McPherson di hadapan serta Torsion Beam di bahagian belakang. 

 


Rekaan dalaman pula membawakan rekaan yang sedikit berbeza berbanding Honda Jazz 2020, di mana terdapat skrin paparan di bahagian tengah Honda CONNECT yang turut menawarkan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. 

Untuk varian terendah, upholsteri fabrik menanti penumpang di ruang kabin, manakala dua varian tertinggi (SV dan RS) menerima tempat duduk dan upholsteri balutan kulit. 

Untuk pasaran Thailand, Honda menawarkan sehingga empat varian utama, iaitu 

  • 1.0 TURBO S CVT
  • 1.0 TURBO V CVT
  • 1.0 TURBO SV CVT
  • 1.0 TURBO RS CVT

 


Varian tertinggi RS pula menerima kemasan yang lebih sporty seperti rekaan rim yang lebih agresif, serta layangan warna hitam berkilat pada beberapa bahagian seperti gril hadapan, pelindung cermin sisi, spoiler belakang dan perumah lampu kabus. 

Ciri keselamatan yang dilengkapkan adalah seperti ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Mula Mendaki, Lampu Kecemasan Automatik, enam beg udara, bantuan kamera undur serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak. 

 


Harga jualan Honda City 2020 di Thailand bermula dari 579,000 Baht (RM79,953) untuk varian asas sehinggalah 739,000 Baht (RM102,048) untuk varian 1.0 Turbo RS. 
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Untuk ketiga-tiga pilihan, varian V paling laris dengan sumbangan sebanyak 54 peratus daripada…
Pelancaran
Ditawarkan dalam empat varian, Honda City generasi baharu ini didatangkan dalam dua penawaran…
Berita Domestik
Pesaing kepada sedan lain seperti Toyota Vios dan Mazda2 Sedan itu ditawarkan dengan enjin yang…