Honda CBR250RR rasmi dilancarkan - 40 hp/25 Nm, bermula dari RM25,999!

oleh Mohamad Hanif|
Boon Siew Honda Malaysia sebentar tadi telah melancarkan secara rasmi model baharu supersport Honda CBR250RR sebagai penutup tirai tahun 2020.

Honda CBR250RR dilengkapi dengan enjin bersesaran 250cc terbaharu yang direka supaya menghasilkan kuasa dan daya kilas yang optimum untuk tunggangan di dalam laluan urban dan litar.

 


Enjin twin-cylinder DOHC lapan injap itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 40 kuasa kuda dan daya kilas 25 Nm yang masuk pada putaran enjin 11,000 rpm, menjadikannya paling berkuasa di dalam kelas supersport 250 cc.

Antara ciri standard yang hadir pada CBR250RR 2021 ini adalah Quick Shifter, klac Assist/Slipper, tiga mod tunggangan, ciri pendikit Throttle-by-wire dan ciri brek ABS dua saluran.

 


Dari segi penampilan, Honda CBR250RR membawakan ciri lampu utama berkembar dwi-lapisan LED yang tampak agresif, diikuti dengan paparan speedometer digital penuh.

Sistem suspensi pula adalah jenis fork teleskopik hadapan jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dengan lima tetapan boleh laras dan Pro-Link System.

 


Hasil sisa pembakaran enjin 250 cc itu tadi disalurkan keluar menerusi sistem ekzos Dual Exhaust System yang menghasilkan not bunyi yang lebih sporti.

Secara keseluruhan, berat jentera ini adalah sekitar 168 kg, dengan ketinggian tempat duduk 790 mm.

 


Dua warna ditawarkan untuk Honda CBR250RR 2021 iaitu Winning Red dan Mat Gunpowder Black Metallic manakala harga jualan pula bermula dari RM25,999 atas jalan tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Bagi mereka yang berminat, Honda CBR250RR ini boleh didapati di Honda BigWing, serta pengedar Impian X dan Impian yang berdekatan.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Terbaru Honda memperkenal CBR250RR 2025 untuk pasaran Jepun. Model 2025 hanya melibatkan warna…
Pelancaran Motosikal
Honda CBR250RR kekal menggunakan enjin dua silinder 250cc lapan injap, penyejuk cecair, DOHC dengan…
Berita Global
  Model 2022 menerima reraut (fairing) dan ekor baharu yang menyerlahkan lagi karakter ala…